Jumaat, 31 Mei 2013

Kumpulan mahasiswa serah memorandum kepada KDN

Wartawan Sinar Harian

Safwan Anang
Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang selepas menyerahkan memorandum di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN
 
PUTRAJAYA - Sekumpulan mahasiswa hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendesak agar menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kerana mendakwa menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politiknya.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang mendakwa, Ahmad Zahid lebih mengutamakan tangkapan terhadap pemimpin pembangkang berbanding menyelesaikan kes jenayah bersenjata yang berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Dakwanya, Ahmad Zahid mengarahkan supaya polis membuat tangkapan dan buat pertuduhan terpilih.

“Beliau menyalahgunakan kuasa yang bermotif politik dan mengetepikan isu jenayah," dakwanya selepas menyerahkan memorandum, di sini, hari ini.

Safwan yang sebelum ini ditahan atas tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan bersama Tian Chua, Tamrin dan Haris pada 29 Mei lalu.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka dan mahkamah membenarkan keempat-empat individu tersebut diikat jamin RM5,000 setiap seorang. Bagaimanapun Safwan enggan diikat jamin dan dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Safwan telah dibebaskan pagi tadi.

Sebelum itu, Safwan menyerahkan memorandum kepada wakil KDN, Penolong Setiausaha Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Abdul Hafiz sebagai bantahan terhadap penangkapan beberapa pemimpin politik pembangkang seperti Naib Presiden PKR, Tian Chua, Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Abdul Ghafar dan Presiden Asalkan Bukan Umno (Abu), Haris Ibrahim serta aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim di bawah Akta Hasutan 1948.

Kumpulan itu turut menuntut supaya KDN memulihkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tercalar.

Tiada ulasan: