Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU13 diwartakan melalui proses pembersihan terperinci dan semakan dalam talian dengan rekod warganegara dan alamat terkini pemilih mengikut pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Oleh kerana sistem pendaftaran pemilih menggunakan nombor kad pengenalan 12 angka yang unik sebagai 'identifier' (pengenal pasti) pendaftaran, maka mustahil terdapat pendaftaran berganda dalam Daftar Pemilih PRU13," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Abdul Aziz berkata melalui sistem pendaftaran itu, tiada ruang bagi warga asing sama ada dari Bangladesh, Indonesia, China atau India dapat mendaftar sebagai pengundi tambahan.
Justeru, dakwaan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa SPR tidak melaksanakan apa-apa penambahbaikan pada PRU13 merupakan pembohongan besar dan fitnah semata-mata, bertujuan mengelirukan rakyat, katanya.
Selain itu, beliau berkata Daftar Pemilih yang digunakan dalam PRU13 adalah sah, telah diwarta dan dimuktamadkan, sekali gus adalah mustahil untuk memasukkan nama-nama pengundi tambahan.
"Oleh demikian, dakwaan kononnya terdapat 40,000 warga Bangladesh yang dibawa masuk untuk mengundi dalam PRU13 adalah tidak berasas dan fitnah semata-mata, kerana Daftar Pemilih yang diwartakan adalah muktamad," tegas Abdul Aziz.
Katanya SPR turut melaksanakan proses pengundian awal pada 30 April lepas, melibatkan 235,826 pengundi daripada kalangan polis dan tentera serta pasangan masing-masing bagi menggantikan proses pengundian pos.
"Selaras dengan tuntutan utama parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan, SPR turut memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada PRU13 sebagai elemen tambahan kepada prosedur pengundian bagi mengelak cubaan mengundi dua kali mana-mana pihak," katanya.
Dari segi tempoh berkempen pula, SPR melakukan penambahbaikan dengan memperuntukkan tempoh 15 hari berkempen bermula 20 April hingga Ahad lepas, berbanding 13 hari pada PRU2008, katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz turut menjelaskan bahawa sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia adalah berlandaskan kemenangan mengikut majoriti mudah dan kemenangan perwakilan mengikut kawasan.
Beliau berkata berasaskan sistem itu, yang diguna pakai di Malaysia sejak PRU pertama pada 1959, menetapkan parti yang berhak membentuk kerajaan bukan berasaskan jumlah undi popular yang diperoleh, sebaliknya jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi.
"Dalam konteks ini, walaupun parti pembangkang memperoleh jumlah besar undi iaitu sebanyak 5,623,984, mereka hanya memenangi 89 kerusi bahagian pilihan raya.
"Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) memperoleh jumlah undi sebanyak 5,237,699, namun dari sudut jumlah bahagian pilihan raya, BN memenangi sebanyak 133 kerusi Parlimen dan berhak membentuk kerajaan di peringkat pusat," katanya.
"Sistem ini juga digunakan bagi menentukan parti yang berhak untuk menubuhkan kerajaan baik di peringkat pusat atau pun negeri, iaitu parti yang mendapat jumlah perwakilan (kerusi) terbanyak walaupun memperoleh majoriti satu kerusi berhak membentuk kerajaan," katanya menambah sistem itu dikenali sebagai 'First Past The Post'. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan