Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid pemimpin pembangkang berkenaan “menyanyikan lagu yang berlainan” apabila bersama dengan penyokong mereka.
“Saya meraikan perbezaan pendapat dan bersetuju untuk berbincang dengan mereka. Mereka pun bersetuju untuk mengadakan perhimpunan secara aman dengan memberi notis 10 hari, perhimpunan sepatutnya diadakan di tempat tertutup dan perhimpunan tidak menimbulkan provokasi,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Hello Malaysia terbitan Bernama TV, di Wisma Bernama di sini malam tadi.
Persetujuan itu katanya dicapai bagi mengelakkan timbul masalah yang tidak diingini. Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan nama pemimpin pembangkang terbabit kerana menghormati kerahsiaan perjumpaan itu.
Pembangkang telah menganjurkan beberapa perhimpunan di seluruh negara, kononnya untuk membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 dan mendakwa mereka yang sepatutnya mentadbir di Putrajaya berdasarkan undi popular.
Ahmad Zahid (gambar) pada rancangan temu bual itu, berkata kebanyakan perhimpunan terbabit diadakan tanpa permit polis dan juga berbentuk provokasi.
“Bila dengan saya, setuju dengan pendapat saya (berhubung perhimpunan aman), tetapi bila dengan penyokong mereka, lain pula ceritanya. Dah macam budaya tempe. Pagi kacang, petang dah ada kulat dan jadi tempe pula,” katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau menghormati pemimpin PAS kerana menerima keputusan pilihan raya. Beliau menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang lain yang tidak bersetuju dengan pandangan pemimpin PAS sebagai ‘desperado’ kerana sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai objektif menawan Putrajaya.
Ahmad Zahid berkata mereka menjadi desperado kerana tidak dapat menerima hakikat kekalahan pada pilihan raya umum, 5 Mei lepas.
Sebenarnya mereka lebih kecewa kerana tidak dapat mencapai impian untuk menguasai kerajaan persekutuan berbanding Barisan Nasional yang tidak mendapat majoriti dua pertiga, katanya.
Mengenai tindakan polis menahan dua tokoh pembangkang dan seorang aktivis sosial serta merampas akhbar dan majalah terbitan pembangkang kerana melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, beliau berkata polis dan agensi di bawah kementeriannya hanya menguatkuasakan akta terbabit.
Beliau berkata mereka bertindak secara profesional tanpa campur tangan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri. “Salah ke kalau polis bertindak dalam menguatkuasakan peraturan dan akta yang sedia ada,” katanya. —Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan