Kementerian memilih ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ sebagai tema, dan pihak pembangkang menganggap itu sebagai paling tidak sesuai, sebab berbaur politik dan seperti kempen pilihan raya untuk BN.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mempertahankan tema tersebut, dan menegaskan: “Apabila kita buat sesuatu yang baik kita mengatakan komitmen kita sudah selesai, sudah dibuat, jadi (tema itu) tidak salah...” Mengenai dakwaan pembangkang tema itu sebagai kempen pilihan raya untuk BN, beliau berkata, seperti yang disiarkan media: “Jadi kalau pembangkang merasakan ini adalah slogan yang bawa kepada pilihan raya saya fikir memang tak salah jika disebutkan begitu.”
Oleh sebab tidak berkenaan dengan tema tersebut, PR akan menyambut perayaan 31 Ogos nanti dengan tema sendiri, sekali gus mencatat sejarah kerana buat pertama kali dalam tempoh 55 tahun perayaan merdeka menggunakan dua tema.
*PEMBANGKANG menetapkan ‘Sebangsa Sejiwa Senegara’ sebagai tema sambutan hari merdeka yang akan diadakan di negeri-negeri yang ditadbir PR iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said telah menerima kira-kira 300 tema dari orang ramai, dan memilih yang terbaik.
PR menghantar memorandum kepada Putrajaya meminta tema, logo, lagu yang dipilih kementerian berkenaan supaya ditukar. Oleh sebab tiada maklum balas dari Pusat, PR memutuskan untuk menyambut merdeka dengan tema sendiri.
Setakat rencana ini ditulis, tidak ada bantahan dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengenai hasrat PR menggunakan tema sendiri untuk sambutan hari penting itu. Maka teringat saya pepatah lama, ‘lain padang, lain belalang.’
Siapa sangka setelah lebih setengah abad menyedut udara kemerdekaan, pepatah lama itu masih relevan!
*LOGO sambutan merdeka kali ini pun dihentam teruk oleh banyak pihak. Ramai yang tidak setuju penggunaan lambang 1Malaysia, bendera Malaysia dan ungkapan ‘55 Merdeka Janji Ditepati’.
Lebih tidak memuaskan lagi ialah logo tahun ini dianggap pakar grafik sebagai langsung tidak seperti logo, tidak mempunyai seni, macam dibuat sambil lewa @ cincai. Setelah beberapa hari dihentam, Rais akhirnya memberitahu bahawa perayaan tahun ini tidak ada logo khas.
Dalam satu kenyataan menjawab kritikan, menteri itu berkata: “Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi.” Lagu sambutan merdeka tahun ini, ‘Janji Ditepati’ pun mencetuskan kontroversi. Ada pihak berpendapat liriknya yang ditulis sendiri oleh Rais lebih merupakan propaganda dan kempen untuk BN.
Malah menimbulkan tanda tanya juga mengenai kesahihan melodi lagu tersebut, sebab ada yang mendakwa melodi lagu merdeka kita mirip sebuah lagu kerohanian Kristian Indonesia yang berjudul ‘Serukan Namanya’.
Menurut pengkritik dan beberapa pemuzik lagu Kristian itu dibawakan oleh kumpulan True Worshippers dalam album ‘All Things New’ yang diterbitkan 2008, diketuai oleh Sydney Mohede.
Mengulas mengenai dakwaan tersebut Rais meminta pihak yang mendakwa sedemikian tampil ke hadapan dan mengemukakan bukti. Rais rapat dengan Indonesia, kalau betul lagu hari kemerdekaan kita meniru melodi seberang tentu dia tahu.
Apa pun perkara tiru-meniru ini kena segera dijelaskan. Kalau tidak orang seberang akan buat demonstrasi di pejabat kedutaan kita di Jakarta, sambil menjerit: “Malaysia ciplak lagu Indonesia!”
*AKHIR kalam, kecoh mengenai logo, tema dan lagu merdeka 55 sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk menghangatkan lagi bahang pilihan raya yang dirasakan semakin hampir walaupun tarikhnya belum diketahui.
Selama ini orang tidak kisah pun logo, tema, lagu dan lain-lain mengenai sambutan merdeka.
Kalau ditanya 100 orang sekarang, pasti tidak ada seorang pun ingat apa tema hari merdeka kita tahun lalu?
Rakyat hendak fikir banyak benda lain yang lebih penting dan mendesak, mereka tidak ambil port pun soal logo dan tema!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan