KUALA LUMPUR: Wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Khas Parlimen untuk penambahbaikan pilihan raya hari ini menafikan keperluan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk meminda Akta Pilihanraya bagi membolehkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi secara pos.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke berkata bahawa Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 hanya perlu ditambah kategorinya bagi membolehkan mereka yang berada di luar negara untuk membuang undi.
Anthony turut manambah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk meminda, selain mereka juga boleh menambah kategori baru untuk dalam buku tafsiran daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR.
Menurut beliau, membuat pindaan kepada suatu akta akan mengambil masa yang lama sebelum diputuskan dalam sidang parlimen yang akan datang pada September depan.
“SPR membazir masa jika mahu meminda akta. Peruntukan sudah ada, SPR hanya perlu memberikan tafsiran jelas terhadap pengundi pos dan mekanismenya sahaja.”
“SPR boleh melakukannya dengan hanya meminda peraturan, seperti mana yang dilakukan untuk dakwat kekal,” tambah Loke lagi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dilaporkan berkata semalam bahawa pihaknya sedang mengkaji keperluan pindaan undang-undang untuk membolehkan mereka yang menetap di luar negara mengundi pada pilihanraya yang akan datang.
Namun syaratnya ialah mereka perlu pulang ke Malaysia sekurang-kurang sekali dalam tempoh lima tahun.
Wakil PAS, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata SPR tidak seharusnya meletakkan sebarang syarat kepada pengundi yang berada di luar negara.
Menurutnya kenyataan pihak SPR yang menyatakan mereka yang berada di luar negara perlu pulang ke Malaysia sebelum mengundi dan melihat sendiri keadaan Malaysia adalah tidak berasas.
“Sekarang ini, semuanya boleh kita ketahui melalui blog-blog mahu pun laman sesawang dan kadang-kala mereka lebih mengetahui Malaysia daripada orang Malaysia sendiri.” – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan