Isnin, 30 Julai 2012

RM893 bilion lesap.


Oleh: Shirzad Lifeboat
 

  Baru beberapa hari bulan Ramadan, ramai sudah merungut harga makanan di bazaar Ramadan lebih mahal dari tahun dulu. Alasan yang diberikan oleh peniaga adalah kerana sewa tapak yang mahal.

Mungkin ada benarnya. Hanya beberapa hari terdahulu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin semacam bersuka cita kerana harga ruang perniagaan di Kuala Lumpur terus meningkat

 Maklumlah trend seperti itu, pada hemat beliau sudah tentu boleh menaikkan saham BN menjelang pilihanraya umum kelak.

Pelbagai takrif boleh diberikan – kehebatan prestasi ekonomi Malaysia, kehandalan kerajaan BN menguruskan ekonomi negara, petanda lebih banyak lagi FDI akan masuk ke negara dan bla bla bla.

Nampaknya apa juga indeks ekonomi mengenai Malaysia, sama ada mengenai pertumbuhan ekonomi rendah atau diluar ramalan, kadar inflasi, imbangan bayaran negatif, kesan krisis kewangan global dan sebagainya, tidak akan menjejaskan malah tidak ada kena mengena dengan keupayaan kerajaan membelanjakan wang tunai.

Terdapat projek mega yang telah diluluskan di Parlimen dalam kiraan berbilion-bilion. Dari masa ke semasa kerajaan membelanjakan sekian bilion secara luar jangka untuk menebus kerugian GLC tertentu.

 Dan akhir-akhir ini terdapat pula pelbagai pemberian one off kepada rakyat selain dari kelulusan serta merta projek itu dan ini setiap kali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan turun padang.

Tak mustahil wang tunai kerajaan Malaysia di bawah kelolaan BN diturunkan dari langit – sebut sahaja mahu wang, maka mencurah-curahlah duit masuk ke dalam Perbendaharaan Malaysia.

Mungkin juga baki tunai yang ditunjukkan oleh Penyata Kira-Kira Kerajaan Persekutuan yang telah diaudit oleh Ketua Audit Negara setiap tahun tidak sama dengan baki tunai sebenarnya. Sementara pegawai Jabatan Audit Negara memeriksa baki tunai yang patut diperakaunkan, ada tunai lain yang tidak terletak di bawah bidang kuasa Ketua Audit Negara.

Kalau setakat baki tunai yang ditunjukkan, tentulah sukar bagaimana kita mahu membayangkan begitu banyak wang tunai yang dibelanjakan oleh kerajaan, pada bila-bila masa sahaja dan ibarat air sungai yang tidak putus-putus mengalir.

Mungkin inilah menyebabkan Malaysia tidak hairan sekiranya sejumlah RM893 bilion lesap dan dipercayai tercicir dari cukai ekonomi Malaysia di antara tahun 1970-2010. ‘Cukai’ di sini bukan bermaksud ‘cukai pendapatan peribadi’ yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia. Cukai pendapatan pun kalau hilang cuma sikit sahaja kerana sesiapa yang tak bayar cukai pendapatan akan dikejar sehingga ke lubang cacing.

Satu kajian yang dijalankan oleh Tax Justice Network, sebuah organisasi profesional berpengkalan di London merangkumi pakar-pakar ekonomi dan perunding cukai profesional, dengan jumlah kehilangan sebanyak itu, yang mana merupakan tiga kali ganda dari hutang negara RM257.2 bilion pada tahun 2011, sebagaimana yang dilaporkan oleh beberapa pihak, Malaysia menduduki ranking ke-12 antara 20 negara membangun yang disifatkan sebagai ‘tewas’ dalam kehilangan modal.

Pada Disember tahun lalu, pemerhati Amerika Syarikat, Global Financial Intergrity mendapati Malaysia telah kehilangan sejumlah RM150 bilion pada tahun 2009 menerusi kehilangan modal bentuk serupa. Jumlah ini ketika itu merupakan keempat tertinggi di kalangan negara-negara membangun.

Kajian selanjutnya dari pemerhati berkenaan juga menunjukkan Malaysia telah kehilangan kira-kira RM1.08 trilion (RM1008 bilion) pada tempoh 10 tahun pertama abad ini. Sejumlah RM930 bilion tunai telah mengalir keluar dari negara ini untuk tempoh di antara 2000 hingga 2008 yang mana juga merupakan pertambahan RM218 bilion setiap tahun bermula dari RM71 bilion untuk tempoh tersebut.

Tidaklah dapat dipastikan sama ada orang seperti Najib atau Awang Adek bimbang tentang kehilangan modal atau ‘capital flight’ ini atau malah mempercayainya sama sekali dan mengambil pendekatan lebih berhemah tentang apa yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Yang pasti, tinggi kebarangkalian kerajaan BN akan menggunakan cara klasik dengan menolak dan menafikan apa sahaja laporan badan atau agensi luar negara yang boleh mencacat-celakan rekod kecemerlangan yang cuba disogok kepada rakyat.

‘Kehilangan modal’ sebenarnya adalah perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. Dalam sesebuah negara, ia berlaku apabila aset atau wang mengalir keluar pada kadar tinggi dari negara berkenaan berpunca dari sesuatu musibah ekonomi - peningkatan cukai ke atas modal atau pemegang modal atau ke atas kerajaan negara yang gagal menjelaskan hutangnya, pengurusan fiscal yang buruk, dan beberapa faktor lain yang mengakibatkan keraguan pelabur dan memaksa mereka bertindak membuat penilaian rendah ke atas aset mereka di negara terbabit.

Tiada ulasan: