Oleh Subky Latif |
SEORANG bertanya saya, apa pandangan saya tentang tindakan terhadap Nizar (Jamaluddin) gara-gara sindirannya atas bidaan plat motokar WWW1 berharga RM520,000?
Jawab saya spontan,"20 tahun lagi orang akan kata Nizar berani." Saya katakan kepadanya, saya pun tidak tahu apakah Nizar itu sebenarnya seorang yang berani atau dia ada kekurangan ketika dia menyentuh perkara itu dalam laman sesawangnya.
Seperti si Luncai, ketika semua orang di zamannya tidak berani bercakap sebarangan terhadap raja, Luncai membandingkan ulu kepada raja sama dengan ulu kepala ayahnya.
Yang menyebabkan Luncai membuat perbandingan itu bukanlah dia seorang yang berani berhadapan dengan raja dan segala masalah yang berbangkit, tetapi adalah disebabkan kekurangan yang ada pada dirinya.
Orang yang cerdik tidak berani berkata demikian kerana tidak bersedia berdepan dengan risikonya, apa lagilah orang bijak langsung tidak mahu menyusahkan diri.
Reaksi pembesar dan istana yang berlebihan menyebabkan Luncai dikenali ramai dan masyhur namanya hingga ke hari ini sebagai orang yang lebih pintar daripada sekalian pembesar masa itu. Kepintaran Luncai itu bukanlah dia sebenarnya seorang yang pintar dan berani, tetapi reaksi orang ramai yang luar biasa menjadikan Luncai itu hebat.
Luncai sebenarnya seorang yang lucu.
Nizar sekadar menyentuh perkara itu secara umum. Sebagai seorang politik baru, dia adalah seorang pendakwah. Maka apa yang dirasakan suatu yang luar biasa, maka disentuhnya perkara itu.
Kita tidak tahu apa reaksi sekalian yang prihatin akan kejadian seperti itu, tetapi kerana mereka sekalian bukan rakyat Britian maka semua membisu, biar ia pecah di perut, pantang pecah di mulut. Akan Nizar, hal itu pecah di hujung jari jemarinya.
Gara-gara gatal jemarinya itu, telah besarkan oleh media, maka gempar istana dan riuh rendah seluruh rakyat di negeri Johor dan di luar Johor. Semua telah maklum apa yang dihadapi oleh bekas Menteri Besar Perak itu dalam perkara itu.
Pada hal apa yang Nizar buat itu tidak sampai satu peratus daripada apa yang rakyat Britain akan buat jika ia berlaku di England. Jika Nizar itu seorang yang berani, maka keberaniannya itu tidak sampai satu peratus daripada keberanian seorang rakyat British.
Kiranya media tidak gatal membesarkan reaksi Nizar itu, berapa orang sangat daripada orang Malaysia yang membaca laman sesawangnya.
Peduli Nizar itu tidak akan sampai ke mana kiranya tidak kerana niat tertentu media terhadapnya.
Media mengambil kesempatan untuk membunuh politik Nizar di Perak supaya dia tidak kembali sebagai Menteri Besar selepas PRU13 nanti. Walaupun Umno mendakwa merasa sedap tentang politik di Perak di seluruh negara tetap ia tetap bimbang kemungkinan Nazar kembali berkuasa di Ipoh.
Justeru ada yang memberitahu saya Dr Zamry Kadir memilih untuk bertanding kerusi Parlimen dalam PRU13 nanti kerana tidak mahu menjadi ketua pembangkang selepas pilihan raya itu.
Sebagai tali barut Umno, maka media yang peduli tentang pengaruh Nizar di Perak, menggunakan sindiran Nizar tentang bidaan plat motokar itu untuk meruntuhkan peluang Nizar untuk kembali sebagai Menteri Besar Perak semula.
Memang Nizar telah cemas dan dipayahkan oleh tindakan media, reaksi istana Johor yang murka dan marah yang meluap-luap rakyat Johor. Natijahnya polis telah membuka fail tentang Nizar.
Memang Nizar nampak susah. Masa dakwah dan kempennya terganggu. Masa yang sepatutnya digunakan untuk menemui rakyat dan kerja-kerja parti telah digunakan untuk bertemu polis. Pejabatnya pula telah diserbu polis dan beberapa barang peribadinya telah diambil polis.
Apa tindakan polis selanjutnya sama-samalah kita tunggu. Apa pun semua yang berlaku itu adalah mengganggu Nizar dan penyokongnya. Nampaknya Nizar seperti timun yang berdepan dengan durian, terus diancam duri baik digolek mahu pun menggolek.
Kita tidak dapat mengagak akan nasib Nizar dalam waktu yang terdekat. Tetapi dia bangkit sebagai seorang yang berani.
Kita Sultan Johor dan istana sedang murka kepadanya dan rakyat yang menyokong Umno bangun mengutuknya, dia menyembahkan permohonan untuk menghadap Sultan Johor bagi menjelaskan apa yang dilakukannya.
Dalam suasana yang tegang itu dia berani untuk menyembah Sultan dan dia sanggup untuk datang ke Johor ketika media melaporkan bahawa rakyat Johor kebanyakannya dikatakan sedang marah kepadanya.
Hang Tuah itu terkenal sebagai seorang panglima gagah berani. Belum tentu Muhammad Ali, legenda tinju dunia dapat mengalahkannya jika kedua-duanya bertinju.
Dia juga tidak berani untuk menghadap Sultan Melaka ketika baginda murka. Bendahara Melaka dikenali sebagai seorang yang besar pengaruh terhadap Sultan tetapi Bendahara juga tidak berani menasihatkan Hang Tuah supaya menghadap ketika baginda murka.
Tetapi Nizar bersedia untuk menghadap Sultan dalam keadaan yang ada itu.
Siapa Nizar yang berani itu? Dia bukan Dr Mahathir Mohamad yang berkuasa sebagai Perdana Menteri. Dr Mahathir dikira berani sedia berdepan dengan raja-raja yang begitu marah dengannya masa krisisnya dengan raja-raja dulu. Dia berani kerana dia Perdana Menteri, dan Perdana Menteri sepertinya digerun oleh kebanyakan raja.
Nizar tidak ada kuasa, tetapi dia berani untuk menghadap. Dia berani bukan kerana dia ada kuasa seperti Dr Mahathir dulu kerana dia percaya dia adalah pihak yang benar, tidak seperti yang media uaruarkan.
Memang sebelum ini Nizar mengambil risiko menaiki pentas ceramah Umno di Kampar. Ceramah itu diiklankan untuk mengatakan dia berbohong. Ketika orang Umno sedang mengatakan dia bohong itulah dia pergi naik pentas Umno dan duduk di kerusi di tengah-tengah orang Umno itu.
Seperti yang pernah saya sebut bahawa Tan Sri Syed Jaafar Albar adalah satu-satunya yang bergelar Singa Umno. Ertinya dia adalah orang Umno yang berani. Tetapi dia pun tidak berani naik pentas ceramah PAS. Tetapi Nizar berani.
Dengan segala yang dirasakan berani itu tidaklah dikira berani sangat apabila dia menyindir tentang bidaan plat motokar termahal itu. Tidak ada kata-kata kecaman dan kutukan mengenai bidaan itu dalam laman sesawangnya.
Dia pun seperti kebanyakan orang Melayu juga tidaklah berani sangat. Dia tidak kata bidaan yang amat mahal itu salah atau seumpamanya, dia sekadar menyebutkan alangkah eloknya wang yang banyak itu digunakan untuk lkeperluan lain.
Saya kira di kalangan rakyat Malaysia, baik dalam PAS mahupun dalam Umno dan lain-lain ramai lagi yang lebih berani daripadanya.
Khalil Afandi Abdul Hamid yang mati ditembak kerana menceroboh kawasan pejabat Perdana Menteri dengan pedang samurainya adalah lebih berani daripadanya.
Tetapi gambaran yang media beri terhadapnya yang dilihat sebagai menegur istana sedang kebanyakannya mengelak untuk terlibat dalam kejadian seperti itu. Dia sendiri pun dipercayai tidak mahu menjadi orang yang lebih daripada orang-orang lain.
Dia tahu sebagai orang politik dalam sebuah negara beraja mesti menjauhkan diri daripada terlibat sebarang masalah dengan istana.
Memang banyak payahnya apabila terjadi hal yang demikian. Bukan dia saja yang payah tetapi partinya sendiri pun payah. Memang payah bagi semua pihak untuk keluar daripada masalah itu. Belum tentu penjelasan yang benar dapat banyak membantu buat masa ini.
Tetapi dengan asakan yang bertubi- tubi, sekalipun dia serba payah sekarang, tetapi 20 tahun akan datang atau lebih, persepsi orang akan berubah dan boleh berubah.
Setelah orang kemudian menyelidiki semua dokumen, mungkin keterlaluan untuk mengatakan dia betul dengan apa yang dibuatnya, tetapi orang akan berkata, Nizar adalah orang yang berani. Yang membina namanya sebagai orang yang berani ialah reaski berlebihan orang terhadap kejadian itu.
Jika tiada yang peduli, tiada orang yang teringat kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan