Roketkini.com
Perubahan tidak datang jika tidak ada desakan dan tekanan. Dan Barisan Nasional tidak akan pernah mahu berubah jika bukan kerana benar-benar terdesak dan terpaksa. Kalau tidak ada tekanan daripada luar, sama sekali parti itu akan kekal dalam keadaan yang serupa untuk seratus tahun lagi.
Ini benar. Jika ia tidak rasa terpaksa, sudah pastilah ia tidak berhempas pulas melakukan transformasi-transformasi dan memunggah saki-baki harta negara kepada rakyat. Ini langkah maha terdesak. Dan bodohlah mereka yang menyangka bahawa ini semua lahir daripada niat murni pemerintah untuk bikin senang hidup rakyat.
Tambah bodoh untuk percaya bahawa semua ini tidak ada kena mengena dengan tekanan yang diberikan pihak lawan, termasuk rakyat terbanyak yang vokal menentang pihak pemerintah.
Ini hukum ketiga fizik Newton; “Untuk setiap aksi selalu ada reaksi yang sama besar dan berlawanan arah”. Fitrah setiap perkara yang masuk akal. Tidak ada perkara yang terdorong sendiri, tanpa sebab.
Akta baru atau nama saja baru?
Jadi apabila sang Menteri Perdana mahu gantikan Akta Hasutan dengan suatu makhluk baru yang dipanggil Akta Keharmonian Nasional, kita harus sedar bahawa ini tidak terjadi dengan sekelip mata, mahu pun dari suara hati nurani Najib Razak yang tulus ikhlas mahu menukar-nukar undang-undang.
Tambah pula, ini dia umumkan dalam keadaan negara sedang di ambang pilihan raya umum.
Dengar namanya sahaja kita sudah rasa lain macam. Akta Keharmonian Nasional. Apa yang kita bayangkan apabila mendengar nama ini? Padang rumput yang luas, ada sebatang pohon beringin yang rendang, rama-rama berterbangan, langit membiru dengan tiada awan kelabu. Dan ada anak kecil berbaju putih sedang main layang-layang. Macam iklan sabun pencuci.
Menurut laporan Bernama, ini yang disebut Najib Razak; “Dengan adanya akta baru ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama.” Itu katanya di majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menguruskan tahap kesilapan negara? Memupuk keharmonian agama?
Bukan itu saja. Dia tambah lagi, “Peruntukan yang dicadangkan dalam Akta Keharmonian Nasional ini akan memberi penekanan kepada pemupukan semangat harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.
Boleh percaya ke?
Jadi apa kandungan akta baru ini? Jabatan Peguam Negara ada masa panjang untuk rangka kandungan baru tersebut sebelum Dewan Rakyat bersidang September nanti. Pada sidang itu juga Dewan akan mendengar pembentangan belanjawan, dan barangkali pindaan-pindaan terhadap peraturan pilihan raya.
Namun melihat kepada pindaan-pindaan undang-undang dalam rangka transformasi si Najib ini, kita janganlah optimistik sangat. Ia tetap parti pemerintah, ia tetap rasis, ia tetap korup. Lihat saja hasilnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digantikan dengan makhluk pelik bernama Akta Perhimpunan Aman.
Hasilnya tidak memberangsangkan kerana ia lebih kepada usaha menyekat kita daripada mengadakan perhimpunan aman. Dan perhimpunan aman masih menerima layanan sepak terajang pihak pemerintah. Kata George Orwell, ini doublespeak. Dalam bahasa kita, lidah bercabang. Jika ISA sudah tiada, mengapa masih ada tahanan ISA? Mereka terpaksa mogok lapar kerana masih tidak dibebaskan.
Maka untuk optimis dengan janji pindaan kosmetik dengan nama ala filem Disney ini adalah tindakan yang naif dan kebudak-budakan.
Teruja sambil teruskan keganasan?
Penyokong-penyokong tegas Najib pastilah akan teruja. Tambah-tambah mereka akan melambung-lambungkan rang undang-undang ini sebagai petanda kejayaan transformasi Najib Razak, sambil giat membaling batu dan telur ke ceramah Pakatan Rakyat, pecah pagar gertak aktivis, pukul aktivis politik sewaktu berjoging, pecah kereta pemimpin oposisi,ugut mahu hukum gantung orang sebab perjuangkan pilihan raya adil dan bersih, serta macam-macam lagi aktiviti yang tidak harmoni.
Bagaimana agaknya kumpulan pelampau kaum akan menerima akta baru ini, sedangkan selama ini mereka begitu bersemangat memainkan api perkauman dan memberi amaran-amaran dengan kepala lembu dan cat merah?
Mungkinkah selepas ini mereka tidak akan jerit maki hamun lagi? Mungkin mereka tidak lagi memukul orang? Atau mungkin mereka akan mula edarkan bunga dan coklat? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan