Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, kekuatan pembangkang di kawasan bandar antara lain dipercayai kerana pengundinya lebih terdedah kepada maklumat internet yang membuatkan mereka bersikap lebih selektif dalam menilai isu.
"Mereka juga akan memilih calon lebih popular berbanding faktor parti," katanya.
Ini katanya tidak berlaku dalam kalangan pengundi luar bandar yang lebih cenderung pilih parti berbanding calon.
Menurut Rafizi, pihaknya masih perlu ambil kira faktor calon meskipun isu itu bukan keutamaan pengundi bandar.
"Kalau silap pilih calon, lebih-lebih lagi jika calon itu tidak disukai pengundi, calon kita akan kalah juga," katanya ketika ditanya sama ada pengundi di negara ini lebih mengutamakan calon atau parti.
Menurutnya, BN jadi pilihan pengundi luar bandar kerana pengaruh parti itu sejak zaman merdeka lagi.
“Pengaruh ini sukar dihakis dalam fikiran pengundi di luar bandar, jadi BN lebih mudah dapat sokongan” katanya. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Hatta Ramli bagaimanapun memberi pendapat sebaliknya dengan mengatakan kebanyakannya akan mengundi berdasarkan parti.
Menurutnya, pengundi Melayu khususnya akan mengundi mengikut parti, berbeza dengan pengundi bukan Melayu yang masih mengutamakan parti dan calon.
“Ini teori sahaja, namun jika dilihat trend terbaru, rakyat negara ini kebanyakannya sudah berparti, jadi mereka akan mengundi parti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan