Ahad, 29 Julai 2012

PR yakin karisma Anwar mampu pikat undi

NURUL AINI MOHAMED ALI

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
 
 
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai karisma tersendiri serta gabungan gandingan dalam Pakatan Rakyat (PR) akan menjadi kekuatan utama meraih kemenangan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Faktor ini menjadi salah satu faktor penguat Anwar menjadi pilihan, tidak mengira kaum. "Tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain kaum kerana karisma yang tersendiri boleh mempengaruhi  undi,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Beliau mengulas laporan media baru-baru ini bahawa faktor Anwar, selaku Ketua Umum PR dan Ketua Pembangkang, mungkin akan mempengaruhi PRU13 nanti.

Prof Dr Teo Kok Seong, yang menyertai forum meja bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) minggu lalu antara lain berkata, ia adalah kerana undi orang Cina terhadap Ketua Umum PKR itu merupakan 'undi harapan' yang kononnya boleh membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.

Dua hari lalu, Timbalan Pengerusi MPN, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, PRU13 merupakan penentu pertembungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Anwar.

Sambil menekankan bahawa Anwar sentiasa bergerak bersama-sama PR, Rafizi berkata, "jadi bukan saja kaum Cina mula meletak harapan, tetapi semua lapisan masyarakat akan mula menaruh harapan tinggi kepada Anwar sekali gus mampu memperkuatkan sokongan rakyat terhadap PR."

Sehubungan itu katanya, undi semua kaum di Malaysia amat penting, malah perjuangan PR sendiri bukan berpaksikan kepentingan satu-satu kaum.

“Tidak kira apa saja yang cubaan musuh(Barisan Nasional) lemparkan, hakikatnya Anwar pernah satu ketika dahulu menerajui kepimpinan tertinggi negara iaitu pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan (dan Timbalan Presiden Umno).

“Pengalaman beliau mentadbir negara ini mampu mempengaruhi corak pemikiran pengundi atas pagar,” ulas beliau.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, faktor Anwar mampu mempengaruhi undi dalam PRU yang akan datang tidak dapat dinafikan.

“Rakyat kini mahukan perubahan. Saya yakin rakyat kini mudah mendapatkan maklumat dan semakin terbuka pemikiran mereka untuk menerima Anwar sebagai calon pemimpin,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Salahuddin juga berkata, selain faktor Anwar, prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan-kerajaan negeri diterajui PR juga mampu meyakinkan para pengundi bagi memilih Anwar sebagai pemimpin.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua tidak menolak kemungkinan undi kaum Cina merupakan undi harapan dalam PRU13.

“Kaum Cina mula rasa kecewa dengan kepimpinan BN yang gagal membanteras rasuah dan meningkatkan ekonomi negara tetapi saya yakin PR mampu memberi perubahan dari segi sosial dan ekonomi,” katanya.

Beliau menambah, DAP yakin dan menyokong Anwar kerana beliau mampu mendukung harapan rakyat dan mampu melakukan perubahan dalam negara ini.

Tiada ulasan: