Ahad, 29 Julai 2012

Suryani gagal ke final 10m Air Rifle

Wartawan Sinar Harian

 Suryani gagal ke final 10m Air Rifle
Nur Suryani yang hamil lapan bulan menyertai acara menembak di sukan Olimpik 2012. - Foto Bernama
 

ATLET Menembak Negara, Nur Suryani Mohamad Taibi, yang mengandung 33 minggu, kekal positif meskipun gagal melangkah ke pertandingan akhir acara 10m Air Rifle sukan Olimpik 2012 di London.
Suryani menduduki tangga ke-34 daripada 56 pesaing.

Dipetik BBC, atlet berusia 29 tahun ini, yang dijadual akan melahirkan anaknya pada 13 September berkata, beliau merasai empat tendangan ketika berhadapan dengan saingan tetapi tidak berputus asa.

"Bila dia (bayi dalam kandungan) tendang, saya menarik nafas keluar dan masuk, dan kemudian meneruskan (persaingan)," katanya.

Apabila ditanya apa yang diperkatakan kepada anaknya, yang akan dinamakan Dayana Widyan, Suryani berkata: "Baik, baik. Bertenang. Jangan bergerak banyak sangat. Dia selalu mendengar apa saya kata. Bertuah."

Suryani, yang menang pingat emas dalam Sukan Komanwel 2010, telah diberikan kebenaran khas untuk ke London dan akan kembali ke tanah air pada 31 Julai ini.

Bagaimanapun beliau menyifatkan mengambil bahagian di Royal Artillery Barracks sebagai satu impian yang menjadi kenyataan dan akan meneruskan aktiviti menembak selepas bersalin.

"Saya akan meneruskan sebab ini sudah menjadi kehidupan saya," katanya lagi.

"Apa yang dengar, seseorang ibu selepas bersalin akan menerima darah baru, jadi saya (percaya) boleh membuat persembahan lebih baik. Saya percaya begitu. Itu kelebihan menjadi seorang wanita," katanya lagi.

Suryani juga berharap anaknya akan mengikut jejak langkahnya berkecimpung dalam sukan kelak.

Tiada ulasan: