Editor Buletin
Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan langkah kerajaan Selangor
yang berusaha mengambil alih pentadbiran SYABAS, syarikat pembekal air
di negeri itu. Bagi DPPM, sudah sampai masanya kerajaan negeri bertindak
dengan mengambil jalan tengah supaya krisis bekalan air di negeri
Selangor seperti yang dilaporkan SYABAS tidak berlanjutan.
DPPM merasa hairan bagaimana SYABAS boleh mencadangkan kepada
Suruhanjaya Bekalan Air Negara (SPAN) untuk mengadakan catuan air
khususnya untuk Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang sedangkan cadangan
catuan air oleh SYABAS langsung tidak dimaklumkan kepada Pengawal selia
Air Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah. Malah, dalam keadaan negeri
Selangor mempunyai tujuh empangan negeri yang mencukupi dan ada kalanya
melimpah, SYABAS pula menyatakan air tidak mencukupi dan terpaksa
dicatu.
Apakah ada mainan politik di belakang tabir dengan
menggunakan agensi air negeri untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat?
Seolah-olah, ada pihak tertentu sedang memainkan peranan memburukkan
Pakatan Rakyat supaya rakyat melihat kegagalan kerajaan PR mengurus air
negeri itu.
DPPM juga merasa curiga kerana menurut laporan
kenyataan Menteri Besar Selangor, SYABAS mempunyai masalah pengurusan
seperti jumlah tertunggak kepada operator rawatan air berjumlah RM2.8
bilion ringgit pada April 2012, gagal menurunkan kadar air tidak
berhasil (non-revenue water) kepada 20 peratus serta gagal melaksanakan
keraj-kerja ‘capex’ (capital expenditure) dengan baik menurut laporan
audit.
Jika demikian, DPPM berpandangan SYABAS sememangnya
bermasalah dan wajarlah kerajaan Selangor mengambil alih SYABAS bagi
kepentingan rakyat di negeri itu. Kerajaan pusat juga perlu menimbangkan
cadangan kerajaan Selangor untuk mengambil alih pengurusan air negeri
itu memandangkan sudah dua kali surat dihantar oleh kerajaan negeri
Selangor kepada kerajaan pusat.
Air adalah keperluan utama rakyat
di mana juga tanpa mengira fahaman politik, etnik dan keturunan,
justeru tidak wajar ia dipolitikkan demi kepentingan pihak tertentu.
Jika kerajaan benar-benar ikhlas membela rakyat dan melihat permasalahan
rakyat sebagai agenda utama, langkah penting yang perlu dilakukan
adalah segera menimbangkan cadangan kerajaan Selangor untuk mengambil
alih SYABAS.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan