Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP hari ini membidas tindakan kerajaan BN yang menggunakan polis untuk membuat pendedahan tanpa bukti kononnya elemen Jemaah Islamiah dan komunis menyusup masuk ke dalam Pakatan Rakyat.
Menyifatkannya sebagai ‘cerita mengarut’ dan ‘jenaka terbesar tahun ini’, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berpendapat bahawa ia merupakan satu tindakan terdesak oleh Datuk Seri Najib Razak dan UMNO-BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Laporan Bernama semalam menyebut bahawa Pembantu Pengarah Cawangan Khas E2 (M), dalam Divisyen Ekstremis, Sosial dan Nasional PDRM, Mohd Sofian Md Makinuddin, yang berucap dalam Konvensyen Pemimpin Belia Nasional di Parlimen semalam dilaporkan berkata, terdapat elemen JI untuk menyusup masuk dalam PAS, manakala ekas komunis pula cuba menyelinap masuk ke dalam DAP.
“Saya mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Mohd Sofian untuk mendedahkan siapa di antara pimpinan DAP dan PR, Ahli Parlimen dan ADUN yang rapat dengan terroris JI atau komunis, atau sila namakan mereka yang dikatakan menyusup ke dalam parti-parti PR untuk menjadi calon.
“Jika tidak dapat mengemukakan bukti, Mohd Sofian harus menarik balik kenyataannya serta memohon maaf atas tuduhan yang tidak berasas dan serius.
“Atau dia perlu dikenakan tindakan disiplin atau dipecat kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang pegawai kerajaan yang sepatutnya membuat keputusan untuk keselamatan negara dan bukan untuk parti politik yang berkuasa,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut membangkitkan persoalan sama ada dakwaan Jemaah Islamiah dan komunis yang menyusup masuk ke dalam parti-parti PR sengaja dirancang dan diaturkan untuk menafikan demokrasi supaya UMNO-BN terus berkuasa selepas PRU 13.
“Adakah kerajaan UMNO-BN makin terdesak berhadapan dengan PR sehinggakan terpaksa menggunakan SB (Cawangan Khas Polis) untuk menakutkan orang ramai?” soal beliau.
Katanya, Najib dan Hishamuddin juga perlu menjelaskan bagaimana mungkin mereka boleh membenarkan SB membuat cerita mengarut penyusupan Jemaah Islamiah dan bekas komunis ke dalam PR.
Turut dipersoalkan ialah mengenai perbelanjaan SB sebanyak RM381 juta daripada RM6.3 billion daripada bajet polis untuk tahun 2012.
“Apakah pendedahan ini semua juga untuk mewajarkan sejumlah perbelanjaan besar SB sedangkan pihak polis sepatutnya mengeluarkan perbelanjaan untuk menentang dan mencegah jenayah dan menjadikan Malaysia lebih selamat?”
Dakwaan terbaru ini merupakan rentetan dari dakwaan-dakwaan terhadap DAP dan PR tanpa bukti dan asas yang kukuh.
“Ini merupakan satu lagi contoh ‘putar belit’ dan pembohongan yang dihalalkan terhadap PR. Sama seperti pembohongan dan fitnah terhadap dakwaan DAP yang mahu menubuhkan negara Kristian, melantik Perdana Menteri Kristian termasuklah dakwaan untuk menubuhkan republik dengan memansuhkan system beraja negara ini,” ujar Kit Siang.
Umum mengetahui bahawa UMNO mempunyai hubungan rapat, termasuk pertukaran lawatan pemimpin, dengan Parti Komunis China. UMNO juga rapat dengan Parti Komunis Vietnam – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan