Jumaat, 6 Januari 2012

Wanita Umno jangan terlalu bermegah

“Janganlah terlalu bermegah berjuang tetapi untuk kelompok dan individu tertentu. Sedangkan rakyat di bawah melihat dengan penuh sinis dan retorik."



PETALING JAYA: Umno Cheras mengingatkan pergerakan Wanita Pusat mengutamakan kepentingan parti dan bukannya individu tertentu. Perjuangan parti bukan untuk memenangkan individu tertentu sama ada dalam pilihan raya atau pemilihan jawatan parti, kata ketuanya Datuk Syed Ali Alhabsheeu .

“Janganlah terlalu bermegah berjuang tetapi untuk kelompok dan individu tertentu. Sedangkan rakyat di bawah melihat dengan penuh sinis dan retorik.

“Rakyat sedang memerhatikan gerak geri pemimpin Umno tertentu yang terbabit dengan kontroversi,” katanya.

Setiausaha BN Wilayah Persekutuan itu tidak menamakan individu berkenaan tetapi pernah menyebut Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dikatakan turut terbabit dengan dana RM250 juta Pusat Fidlot Kebangsaan perlu meletakkan jawatan.

Syed Ali menambah, sudah tentu kita tidak mahu ada pihak menuduh Wanita Umno sebagai lembu dicucuk hidung.,” kata beliau.

Individu boleh pergi

Katanya, individu boleh pergi bila-bila masa apabila ditolak rakyat, tetapi perjuangan Umno tetap diteruskan.

Ketua Umno Cheras itu menegaskan, kepentingan individu tidak penting kepada perjuangan parti sebaliknya ia lebih bermakna jika menjuruskan kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Saya difahamkan ada di kalangan Wanita Umno cuba nak jumpa Najib dan Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersabit isu yang menyentuh individu tertentu,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan itu tidak sopan dan kurang bijak yang jelas menunjukkan ada agenda tersirat di sebalik tujuan tersebut.

“Tak elok dan kurang manis rasanya jika ada dakwaan mengatakan di kalangan Wanita Umno cuba nak kacau Perdana Menteri hanya bersabit isu yang berkait dengan individu tertentu,” tegas beliau.

Tiada ulasan: