Hazayani Zakaria, | |
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), membantah cadangan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam agar tanggungjawab penapisan filem diserahkan kepada penerbit dan pengimport mulai tahun ini.
Sebelum ini penapisan filem adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Penapis Filem (LPF).
Memorandum itu susulan daripada beberapa kenyataan balas DMPP selepas Mahmood mengeluarkan kenyataan tersebut pada Disember lepas.
Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN, Tanasengran Sinnathambi selepas kira-kira sejam pertemuan di pejabat KDN, Putrajaya, tengah hari tadi.
Pertemuan diketuai Timbalan DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmood ditemani naib ketua, Mumtaz Mad Nawi, ketua penerangan, Aiman Athirah Al-Jundi dan beberapa anggota DMPP yang lain.
Dalam memorandum tersebut, Dr. Siti Mariah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai industri perfileman negara ini yang terlalu liberal berbanding negara barat.
"Penghapusan penapisan oleh LPF dilihat sebagai jalan mudah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menghadapi segelintir pengkritik, penggiat seni dan rakyat yang terlalu longgar dan liberal dengan nilai mereka dan menganggap yang rakyat semuanya matang untuk menilai sendiri kesemua perkara," katanya.
Selepas pertemuan tersebut, DMPP berpeluang bertemu dengan Mahmood sendiri yang kebetulan baru selesai menghadiri satu mesyuarat bersama menteri.
Perkara yang sama disuarakan kepada Mahmood.
Mahmood dalam responsnya berkata, pihaknya menyambut baik segala maklum balas yang diterima mengenai cadangan tersebut dan berharap lebih ramai pihak tampil memberikan pandangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan