Jumaat, 20 Januari 2012

Himpunan: Kerajaan patut henti ugut rakyat

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Kebebasan Berhimpun (KKB) mengutuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas jika menganjurkan sebarang perhimpunan jalan dalam waktu terdekat yang dikaitkan dengan Bersih 3.0.

“Kami melihat kenyataan ini sebagai satu ancaman politik dan satu bentuk intimidasi terhadap semua rakyat Malaysia,” kata Sekretariat KKB, E Nalini.

Katanya, kebebasan berhimpun adalah hak asasi semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, jika kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ikhlas dalam membuat pembaharuan, perubahan perlu dibuat dalam semangat untuk melindungi dan mempromosikan nilai-nilai hak asasi manusia.

Justeru, ujarnya kenyataan Nazri menunjukkan ketidakmatangan dalam memahami proses demokrasi dan hak kepada kebebasan berhimpun.

Katanya lagi, KKB percaya kerajaan mempunyai pandangan yang sangat sempit terhadap perhimpuna jalanan.

“Bantahan melalui perhimpunan jalanan adalah satu norma di negara-negara demokrasi sebagai satu kaedah untuk orang ramai untuk menyatakan pandangan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, jika kerajaan Malaysia dapat menerima revolusi di Mesir dan negara-negara lain di mana perubahan berlaku melalui demonstrasi jalanan, mengapa mereka tidak dapat menerima keadaan sedemikian dalam negara mereka sendiri.

Ini, ujarnya jelas menunjukkan hipokrasi kerajaan Malaysia dan menggunakan keselamatan negara sebagai alasan untuk menutup ruang bagi rakyat Malaysia untuk bebas berhimpun.

“Kami percaya Nazri Aziz mengeluarkan kenyataan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia mengenai Akta Perhimpunan Aman yang telah diluluskan baru-baru ini.

“Akta Perhimpunan Aman mengenakan larangan terhadap demonstrasi jalanan,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, katanya KKB percaya bahawa apa-apa perbuatan atau mana-mana undang-undang yang menyekat kebebasan berhimpun tidak lagi ditakuti oleh rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan harus menghentikan semua ugutan dan ancaman terhadap rakyat dengan serta merta.

KKB, jelasnya menuntut kerajaan memansuhkan atau membatalkan Akta Perhimpunan Aman dengan serta-merta dan hormati hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan deklarasi hak asasi manusia antarabangsa.

“Kami ingin mengutuk pentadbiran Najib yang mempraktikkan double standard sedangkan Malaysia adalah antara salah satu anggota dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” katanya lagi.

Tiada ulasan: