Sabtu, 14 Januari 2012

TABIKA KEMAS ATAU SARANG ANAI-ANAI?

USANG....Asmah menunjukkan dinding kelas berkenaan yang sudah usang.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : ZAMAN ABM FAJEER


48 TAHUN merdeka belum cukup untuk mengajar KEMAS menilai operasinya agar selaras dengan Pelan Transformasi Kerajaan melalui NKRA bagi mengejar kepesatan pembangunan sehingga terpaksa menjadi 'Setinggan' untuk meneruskan operasi TABIKA Taman Rimba, Libaran.

Bangunan Kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS Taman Rimba Libaran-Sandakan yang sudah uzur dimamah usia, lebih buruk daripada kandang kambing kerana strukturnya rapuh dan bakal mengundang bahaya perlu dibaik pulih dengan segera.

Kebanyakkan tiang, siling, lantai dan dindingnya 80 peratus sudah rapuh dimakan anai-anai dan akan runtuh menyembah bumi pada bila-bila masa sahaja; lebih sesuai ditransformasi sebagai Pusat Pembiakan Anai-Anai.

Disebabkan bangunan tersebut dianggap kurang selamat kepada murid-murid termasuk guru-guru TABIKA, maka mereka berpindah ke rumah teres yang tidak beberapa jauh untuk menempatkan semula muriud-murid supaya tidak mengganggu keghairahan mereka menimba ilmu, sekalipun terpaksa bersetinggan!

Dalam tinjauan Sabahkini.Net kelmarin, mendapati rumah kediaman tersebut sebagai penempatan sementara kelihatan tidak begitu selesa kerana tidak mempunyai kemudahan asas seperti meja, bangku dan juga kipas angin sehingga murid-murid gelisah saban hari menahan kepanasan dalam ruang bilik yang pengap.


WAWANCARA.....Asmah sedang diwawancara oleh Sabahkini.Net mengenai masalah Bangunan TABIKA.

SEMENTARA....Bangunan rumah kediaman yang digunakan sementara sebagai Kelas TABIKA tidak mempunyai kelengkapan asas.

RUNTUH....Bangunan ini akan runtuh bila-bila saja

REPUT.......Dinding yang sudah reput dimakan anai-anai.

Dalam temubual eksklusif Sabahkini,Net dengan seorang guru TABIKA berkenaan, Asmah Hj Nunong menjelaskan, kelas tersebut mengadakan sesi sidang pagi dan petang dengan bantuan 10 orang guru dan mempunyai murid seramai 250 orang.

“Memandangkan bangunan tersebut sudah hampir usang saya bagi pihak Ibubapa, Guru-Guru dan KEMAS memohon jasa baik Ahli Parlimen Libaran agar dapat memberikan peruntukan atau membaik semula bangunan tersebut dengan seberapa segera yang boleh," kata Asmah dengan nada sebak dan terharu.

"Sementara itu, bangunan yang kami gunakan untuk kelas TABIKA buat sementara waktu ini yang tidak mempunyai kemudahan asas. Saya merayu agar Ahli Parlimen Libaran dapat menyumbangkan 4 buah kipas angin demi keselesaan murid-murid dan juga guru-guru di kelas berkenaan,” rayu Asmah dengan rendah hati.

Tiada ulasan: