Laungan slogan "1Malaysia" berkumandang dalam perhimpunan UMNO pada Oktober 2009, dengan semangat berkobar-kobar untuk "berubah" sebelum diubah.
Pada ketika itu, UMNO baru sahaja menang dalam PRK DUN Bagan Pinang, selepas tujuh kekalahan berturut-turut dalam PRK di Semenanjung Malaysia, pasca 8 Mac 2008. UMNO masih diselubungi suasana krisis, maka bahasa yang pragmatik berjaya menenggelamkan suara-suara perkauman. Perwakilan dan pemimpin UMNO sebulat suara menyokong program transformasi yang dibawa Najib Razak.
UMNO kemudiannya menang di PRK Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Sepanjang tempoh itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Anwar Ibrahim dilanda masalah "keluar parti", lantas semakin mengombak keangkuhan Najib dan UMNO. Penjenamaan semula dengan slogan "1Malaysia" dan program Transformasi mula menampakkan kesannya. Keputusan PRK memperlihatkan tanda-tanda undi Melayu, Cina dan India kembali ke pangkuan Barisan Nasional.
Populariti Najib (gambar kiri) melonjak pada tahun lalu. Tinjauan Merdeka Center dari 5 hingga 16 Mei 2010 di kalangan pengundi Semenanjung Malaysia memperlihatkan lonjakan mendadak kepada 72%, berbanding 44% yang berpuas hati dengan Najib ketika beliau baru mengambil alih tampuk kerajaan. Namun, 58% responden menganggap program Najib sukar dilaksanakan, dan hanya 47% responden berpuas hati dengan keadaan ekonomi negara. Ia menunjukkan bahawa meskipun tiada perubahan besar dalam situasi keseluruhannya, namun lantaran daripada imej Najib yang baik, maka BN seolah-olah disokong dengan imej satu individu bernama Najib.
Kerja penjenamaan ini gagal bertahan lama. Setelah jemu dengan slogan, rakyat mula meneliti kandungannya. Dengan berlalunya masa, rakyat mendapati slogan transformasi Najib bagai susu 1Malaysia - dari luarannya umpama ekonomi yang memanfaatkan rakyat jelata, padahal kandungan proteinnya lebih rendah daripada piawaian, malah mengandungi bakteria E Coli yang boleh mengancam kesihatan tubuh manusia.
Misalnya, anda ditawarkan "Kedai Rakyat 1Malaysia" yang kononnya murah harga barangannya, namun harga barangannya lebih tinggi dari hypermarket setelah dialas dengan subsidi RM40 juta oleh kerajaan; anda ditawarkan Akta Perhimpunan Aman, padahal tujuannya untuk menyekat perhimpunan; anda ditawarkan transformasi ekonomi, namun kuota bumiputera dikekalkan; anda dijanjikan pembanterasan rasuah, namun pendedahan Laporan Ketua Audit Negara tetap membeliakkan; anda ditawarkan slogan "1Malaysia", namun Utusan Malaysia milikan UMNO dibenarkan untuk menghasut sentimen perkauman, malah kenyataan berbau rasis tetap dilontarkan oleh pimpinan UMNO.
Sejak itu, kulit luaran kerajaan baru Najib mula merekah, mendedahkan minda lapuk dan budaya lama di dalamnya.
Gelombong demokrasi oleh BERSIH 2.0
Dalam PRN Sarawak, pembangkang berjaya menembusi kubu yang dibina dengan gula oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak, mencipta sejarah dengan memenangi 15 kerusi di kawasan bandar, termasuk tiga kerusi kawasan bukan Cina - tamparan pertama buat Najib dan BN pada tahun 2011.
Gambaran di mana lautan manusia membanjiri ceramah politik Pakatan Rakyat di bandar Miri, Kuching dan Sibu, amat mendebarkan hati rakyat Malaysia. Dengan bahang yang ada, BERSIH 2.0 menganjurkan perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011, menuntut reformasi sistem pilihan raya - dan berjaya mencetuskan gelombang kuning di laman sosial Facebook.
Penangkapan mereka yang berpakaian kuning sebelum perhimpunan, penangkapan enam orang pemimpin Parti Sosialis Malaysia di bawah Ordinan Darurat, cubaan menuduh BERSIH dan pembangkang menghuru-harakan ibu kota dengan "senjata yang ditemui", perbuatan tidak masuk akal dengan memohon perintah untuk menghalang pimpinan pembangkang dan aktivis masuk ke kawasan bandar... kesemua ini telah mencungkil kemarahan warga internet. Malah, Najib memusnahkan kredibiliti dirinya apabila mungkir janji untuk membenarkan BERSIH berhimpun dalam stadium - antara pukulan maut sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri.
Pada 9 Julai, puluhan ribu orang mengambil risiko ditahan di bawah ISA - turun ke jalan raya untuk menunjukkan tekad mereka menghambat demokrasi - meskipun diugut dengan ISA, tembakan air meriam berkimia, gas pemedih. Namun, ramai lagi yang menunjukkan sokongan mereka di Facebook, dan puluhan ribu turun ke jalan raya pada hari itu - cukup untuk menunjukkan bahawa gelombang demokrasi gagal dihalang apa-apa.
China Press membubuh tajuk "Di manakah keamanan yang dijanjikan?" di muka depan akhbar tersebut pada malam 9 Julai, ditafsir secara umum sebagai "mempersalahkan peserta demonstrasi". Reaksi keras daripada warga internet memaksa China Press untuk menarik balik tajuk itu pada hari keesokan. Najib, Ketua Polis Negara Ismail Omar, Presiden MCA Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan lain-lain, cuba menyelindung fakta dan menyebelahi polis - diserang balas dalam dunia wacana. Maklumat internet telah mendewasakan warga Malaysia daripada sekadar menjadi "Pak Turut", kini memainkan peranan sebagai pemantau.
Pada 26 Julai 2011, Najib memperbarui statusnya di Facebook, "Blog terbaru saya menyentuh tanggungjawab pemimpin dan keamanan negara", dibalas dengan komen "Diam lar" oleh warga internet. Selepas komen itu dipadamkan admin laman Najib, lebih ramai warga internet yang meninggalkan komen "diam lar" untuk membidas Najib, mengecam bahawa Najib "berbohong", "cakap tak serupa bikin". Serangan wacana sedemikian gagal dibayangkan semasa zaman pemerintahan Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi.
Kemudian, warga internet berebut-rebut menyiarkan gambar isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang didakwa memiliki cincin berharga RM24 juta, dan mengumpul banyak beg tangan Hermes Birkin yang berharga antara USD 9 ribu hingga 150 ribu - mendedahkan betapa mewahnya hidup keluarga PM. Kemewahan dan pembaziran ini membuatkan segala-gala usahanya untuk mendampingi rakyat atas nama "mesra rakyat" seolah-olah sindiran yang sinis terhadap rakyatnya. RM3 untuk makanan 1Malaysia? Wahai Perdana Menteri, sudah lama kami tidak menikmati makanan dengan lauk ayam dan ikan dengan harga RM3. (Bahagian pertama, bersambung)
*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 28 Disember 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan