Isnin, 16 Januari 2012

Iktibar politik intrik

Oleh Mazir Ibrahim


Kisah Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, yang mewarnai pentas politik tahun baru 2012 sangat menarik untuk dijadikan iktibar kepada kita. Dari seorang tokoh akademik, profesional dan politikus hinggalah ke saat beliau menzahirkan ‘warna’ politik sebenarnya, cukup untuk dijadikan satu filem epik yang gagal.

Perjalanan kerja beliau sebagai pendakwah dan pakar motivasi cukup baik. Malah media kerajaan menggambarkan beliau sebagai selebriti Islamis yang moderat di zamannya. Namun kini, semua itu sudah pecah terbarai di tengah jalan.

Sekarang, gambaran yang serupa juga sedang dimainkan oleh media-media yang dikuasai oleh UMNO untuk – sekali lagi menggambarkannya sebagai pejuang Islam. Tetapi kali ini pakej itu lebih jitu lagi dengan imej seorang Islamis yang menjadi mangsa pembunuhan politik dan imej hero Hang Tuah pejuang Melayu dan pembela Raja.

Politik waras dan politik intrik

Kita sebagai warga demokrat, tidak pernah walau sekali pun, ingin mempertikaikan tiga elemen – Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan istimewa Melayu dan institusi Raja. Ia sudah termaktub di dalam perlembagaan dan biarlah ia kekal tanpa perlu dijadikan modal manipulasi politik oleh sesiapa pun.

Kita ingin bertanya kepada diri sendiri dan warga politik khususnya, iaitu tidak bolehkah kita berpolitik secara waras tanpa mengamalkan politik intrik? Politik intrik ini adalah politik negatif yang merangkumi aspek ‘persengkokolan, konspirasi dan rekayasa’ yang melampaui kewarasan/moral manusia berpolitik.

Elemen-elemen politik intrik ini juga sebahagian dari jalur fahaman politik assabiyah. Kerja politik yang asas adalah kerja menggembleng usaha kolektif untuk tujuan kebajikan atau kebaikan pihak majoriti dan minoriti, selain dari kerja mencari sokongan untuk mendapat kuasa melalui jalan pilihanraya.

Tetapi bagi mereka yang begitu taksub dengan fahaman politiknya, maka kerja politik itu bukan lagi persoalan untuk menggembleng usaha kolektif untuk kebajikan umum dan semua bangsa, sebaliknya ia bertukar menjadi kerja persengkokolan, konspirasi dan rekayasa yang tak berkesudahan.

Kerja politik intrik ini telah menjadikan yang putih itu semakin kelabu, yang hijau sudah semakin pudar kesegarannya dan yang bersih jernih pula kini bertukar menjadi keruh. Inilah amalan politik intrik yang tidak mengenal budaya, bangsa hatta agama sekali pun. Semua akan habis dilanggar. Kerja bersengkongkol pihak wira dengan musuh telah banyak berlaku dalam sejarah.

Kerja merekayasa fakta atau peristiwa ini juga telah dibuktikan bukan sahaja dalam sejarah, malah dalam kursus-kursus motivasi pun telah biasa ditunjukkan bagaimana rekayasa maklumat terjadi hingga hilang fakta sebenar penting yang ingin disampikan. Mana-mana pakar motivasi pasti lebih maklum akan hal ini.

Gejala politik intrik

Had kita sebagai manusia tetap ada, nikmat dunia ini juga terhad, dan dunia ini sendiri sememangnya terhad. Jadi mengapa, untuk sebuah kepercayaan atau keyakinan peribadi kita sendiri, ingin dipaksakan ke atas manusia lain?

Ketaksuban Hasan Ali pada idealisme dan kepercayaannya itu telah membuatkan beliau bermain politik intrik demi ‘perjuangan Islam Hasan Ali’. Sayangnya, perjuangan Islam Hasan Ali ini hanya menjadi perjuangannya sahaja, bukan perjuangan masyarakat, ini satu tragedi kegagalan politik intrik beliau.

Jika secara peribadi, beliau mempercayai bahawa Melayu di Malaysia perlu bergantung dengan 3R – royal, religion, race (raja, agama, kaum) untuk selamat, maka biarlah. Kita tidak pun berminat ingin mempertikaikannya tetapi tidak perlulah keyakinannya (walau tanpa menyebut dengan perkataan) dipaksakan ke atas masyarakat atau bekas partinya.

Ironinya, sejak lebih satu dekad bersama PAS, tidak ramai ahli dan pemimpin parti Islam itu ingat tentang radikal atau taksubnya beliau kepada apa yang dikatakan perjuangannya sekarang. Malah sepanjang awal dekad yang lalu, beliau lebih dilihat sebagai pemimpin yang sederhana. Apa yang telah terjadi?

Adakah Hasan Ali hanya mahu bercita-cita menjadi wakil rakyat untuk orang Melayu dan Islam sahaja tanpa mempedulikan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama? Jika itu matlamatnya, itu pun hak beliau. Tiada siapa yang menegahnya.

Tetapi jika ada wakil rakyat, katakan dari MCA, MIC, Gerakan, PBS, UPKO, SPDP, PRS dan sebagainya, turut bertindak memperjuangkan kepentingan kaum mereka sahaja tanpa mempedulikan orang lain, maka janganlah marah. Mungkin mereka ini hanya menurut jejak langkah Hasan Ali.

Hatta jika bumi Malaysia ini dihuni 90 peratus orang Islam (seperti di Indonesia), perlembagaan dan demokrasi membenarkan amalan pelbagai ideologi dan kepercayaan politik, asalkan tidak mengangkat senjata atau mencederakan orang lain, asalkan mengikut demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Inilah realiti politik yang gagal atau sengaja tidak mahu difahami oleh segelintir ahli politik kita khususnya mereka yang secara tiba-tiba mahu menjadi juara kaum dan agama.

Iktibar jalan kebaikan

Jalan tengah atau jalan sederhana adalah pilihan terbaik yang dianjurkan bukan sahaja oleh agama, malah dalam kebanyakan budaya bangsa. Ia (budaya) juga mendorong kita untuk mengambil jalan sederhana kerana beberapa faktor berdasarkan keperluan semasa tanpa mengorbankan prinsip-prinsip asas perjuangan.

Dalam sastera Melayu dan juga kebanyakan bangsa besar, pernah digambarkan bagaimana sang kancil yang kerdil seringkali terlepas dari ancaman bintanang besar dan buas. Bukan kerana politik intrik tetapi kerana kebijaksanaannya dalam menangani situasi semasa.

Kefahaman pada realiti politik semasa akan mengelakkan kita daripada terjebak dengan amalan politik intrik. Rakyat Malaysia termasuk orang Melayu sudah muak dengan politik seperti ini, berkonspirasi untuk membuka konspirasi yang lain. Akhirnya, pi mai pi mai, tang tu juga. – Roketkini.com

Tiada ulasan: