Rabu, 18 Januari 2012

Anwar halal homoseksualiti, fitnah terbaru Umno

Fitnah yang dipintal media Umno seperti Utusan Malaysia itu kononnya dipetik dari jawapan Anwar ketika ditanya dalam satu wawancara BBC, kata Ahmad Kasim.



PETALING JAYA: Seusai pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari pertuduhan fitnah pada 9 Januari lalu, media yang dikongkong Umno terus memintal fitnah baru demi menjejaskan wibawa beliau sebagai seorang muslim, rakyat Malaysia dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim, beberapa hari kebelakangan ini, Anwar dilontar pula dengan tohmahan bahawa beliau mahu menghalalkan homoseksualiti (hubungan sejenis) di negara ini.

“Fitnah yang dipintal media Umno seperti Utusan Malaysia itu kononnya dipetik dari jawapan Anwar ketika ditanya dalam satu wawancara BBC (British Broadcasting Corporation).

“Sekiranya diteliti jawapan Anwar itu, ternyata beliau tidak menyebut berhasrat mahu menghalalkan homoseksualiti di negara ini,” kata beliau yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, PKR.

Beliau merujuk kepada petikan jawapan Anwar bersama pautan rakaman wawancara BBC itu yang boleh dimuat turun dari http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-16531714.

Beliau berkata, berdasarkan jawapan dan petikan itu, pertamanya, ditegaskan sebagai orang Islam, kita menjunjung kesucian hubungan perkahwinan antara lelaki dan perempuan.

Katanya, Anwar tegas menyatakan bahawa beliau, PKR dan Pakatan Rakyat tidak menganjurkan, membenarkan ataupun menghalalkan homoseksualiti (hubungan sejenis).

Bagaimanapun beliau (Anwar) berpendirian undang-undang lapuk yang tidak berlandaskan syara’ serta menzalimi rakyat Malaysia wajar disemak.

Kata Anwar, undang-undang lapuk dan zalim malah boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh kekuasaan untuk menghalalkan fitnah jelik ke atas sesiapapun.

Tegas Ahmad Kasim, “saya menyeru supaya semua pihak merujuk kenyataan atau jawapan tersebut dan tidak dipengaruhi dakyah jahat media Umno.

“Justeru saya juga menyeru agar jangan sesiapapun bersekongkol subahat memintal fitnah ini kononnya atas nama perjuangan Islam.

Perjuangan Islam tidak sama sekali membenarkan fitnah sedemikian,” ujar beliau.

Tiada ulasan: