Khamis, 19 Januari 2012

2012 tahun mahasiswa bangkit

MOHD AFIQ MOHD SALEH

http://malaysiatribune.com/melayu/wp-content/uploads/2011/12/demo-upsi.jpgEMPAT tahun saya di rantau orang, jauh dari tanah air sendiri hanya memendam semangat, ketika itu saya juga memegang “jawatan” seorang mahasiswa. Tidak mampu memberi sumbangan kerana jauh daripada medan sebenar. Hanya mampu mendengar, membaca, menganalisis dan memberi respons.

Kerja-kerja ini membuatkan saya tidak puas dan malu sepanjang memegang title seorang mahasiswa, ketika mereka di jalanan bermandikan keringat dan mempertaruhkan tubuh, saya di sana hanya mampu melihat.

Saya bersangka baik dengan Tuhan, bahawa saya belum diizinkan berjuang bersama-sama mereka yang lebih dahulu merasai kesakitan seorang mahasiswa.

Sekarang adalah masanya, saya telah kembali ke tanah air, pada saya masanya adalah tepat, tahun 2012 adalah tahun kepunyaan mahasiswa. Saya tidak hanya membawa balik semangat dari Timur Tengah tetapi disertakan jiwa yang bersedia untuk bersama-sama mereka:

1. Hari ini kita tidak lagi mahu membincangkan soal kehendak mahasiswa, tetapi lebih penting daripada itu adalah soal keperluan yang diabaikan, hak yang ditindas, dan “nafkah” yang tidak ditunaikan. Cuba anda bayangkan, jika makanan mereka disekat, pakaian mereka disorok, dan duit mereka pula dicuri, saya pasti orang yang kurang siuman juga akan mengamuk.

2. Mahasiswa pastinya tidak akan senang duduk, mereka adalah manusia berfikir, diam mereka bukanlah seperti besi berkarat. Mereka tahu maksud kezaliman dan keadilan. Untuk menipu mahasiswa dengan suapan dan janji manis bukanlah caranya, mahasiswa boleh lagi bersabar dengan kekasaran fizikal, tetapi jika maruah dan hak mereka “dijual” dengan murah, itu sudah melangkaui prinsip dan dasar mahasiswa.

3. Sehingga hari ini, Najib masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung tindakan Adam Adli. Kini Safwan Anang pula telah menjadi mangsa seterusnya. Insiden bendera telah menyerlahkan lagi keaiban barisan kerajaan yang tidak berhati perut. Padahal, jika Najib hanya melafazkan kata maaf, barangkali ia akan menaikkan kredibilitinya sebagai Perdana Menteri.

4. Melihat kekuatan mahasiswa dalam Tragedi Semanggi 1998, ia adalah teladan yang harus dicontohi dan diambil sebagai ‘spirit’ untuk melakukan anjakan revolusi.

Kita tidak mahu menjadi mahasiswa yang diikat hidungnya, bacul dan membiarkan diri diperlakukan seperti lelaki dayus. Jika sedekad yang lalu Soeharto dijatuhkan oleh kuasa mahasiswa, tidak mustahil sejarah itu akan berulang tayang, kali ini tempatnya di Malaysia.

Kita mempunyai kesedaran, tapi kurang kekuatan dan keberanian. Sebaliknya mereka ada kesedaran yang sikit tetapi digabungkan dengan kekuatan dan keberanian yang banyak! Revolusi tidak hanya dengan kesedaran tetapi juga faktor kekuatan. Ayuh kuatkan jemaah kita dengan fizikal dan intelektual.

5. Peranan Saifuddin Abdullah harus dipuji, beliau membawa mahasiswa ke arah dunia yang lebih matang dan berhemah. Mahasiswa diajak berfikir dan berunding, kerana beliau tahu golongan yang terpelajar ini tidak mudah untuk dibohongi.

Yang benar disokong dan didukungi manakala yang salah dibicarakan dengan seadilnya. Bahkan jika beliau dihalau daripada jawatan menteri, pada pandangan mahasiswa beliau adalah wira dan hero yang harus dijadikan qudwah.

6. Baru usai tahun 2012 menjelma, sudah dua orang yang menjadi mangsa kebobrokan kerajaan, kita tidak perlu menunggu semua mahasiswa dizalimi untuk menuntut keadilan, kerana apabila peha kanan dicubit, sebelah peha lagi akan terasa sakitnya. Diingatkan, masuk ini sudah dua orang, jangan tunggu sampai yang ketiga menjadi korban, pasti mahasiswa akan memperlakukan lebih dasyat dari itu. Kerana kuasa mahasiswa ada dijiwa mereka bukan di tangan kerajaan.

7. Ertinya hari pengebumian Barisan Nasional sudah semakin hampir, liang lahad telah digali, nama mereka ada terpahat disetiap nisan-nisan yang dibina.

Jika mereka tidak mahu “mati” dalam keadaan hina, maka bermula daripada sekarang hamparkanlah tikar sejadah untuk memohon taubat kepada Allah, selagi nyawa belum tiba di hujung rongga gunakanlah kesempatan itu sebaiknya.

Rakyat semakin matang dalam urusan penilaian, yang jahat walaupun dikaburkan dengan wang ringgit, ia bukan lagi kemewahan yang diharapkan, sebaliknya jika kesusahan itu menjamin kebenaran dan kebahagiaan yang berpanjangan, maka jalan itulah yang akan dipilih.

MOHD AFIQ MOHD SALEH Mantan, Pimpinan Mahasiswa Jordan 2010/2011

Tiada ulasan: