Sabtu, 1 Oktober 2011

Akta Kerja: MTUC tetap piket di Parlimen Isnin ini




Salah seorang pemimpin kesatuan gabungan MTUC menyuarkan pandangan pada forum mengenai Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010 di Petaling Jaya hari ini. - Foto oleh Choo Choy May
PETALING JAYA, 1 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap dengan pendirian mahu mengadakan piket di Parlimen Isnin ini berhubung kontroversi pindaan undang-undang buruh.

Keputusan itu dibuat hari ini selepas badan induk kesatuan sekerja tersebut dan Kementerian Sumber Manusia gagal dalam mencari titik pertemuan berhubung rasa tidak puas hati mengenai pindaan ke atas Akta Kerja 1955.

Keputusan muktamad dicapai susulan forum empat jam hari ini. Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata pihaknya akan menghimpunkan 1,000 ahlinya untuk mengadakan protes mengenai Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2010, yang akan dibawa untuk bacaan kali kedua pada sesi Parlimen yang akan bermula Isnin ini.

“Mereka mahu membentangkan rang undang-undang ini meskipun tidak dibincangkan di NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan),” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat pascaforum tengah hari ini.

“Mereka tidak pernah membentangkan pindana ini di NLAC. Sekarang mereka cuba nak bentang di Parlimen. Ini tidak adil. Kami tidak tahu apa-apa, apa yang berlaku,” katanya.

Khalid berkata tujuh pegawai kanan MTUC akan tetap menghadiri mesyuarat NLAC pada pukul 10 pagi Isnin ini, yang diaturkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Mesyuarat NLAC itu, majlis yang dihidupkan semula dua minggu lalu, diaturkan selepas MTUC mengambil keputusan mahu berpiket Ahad lalu.

Katanya, selepas mesyuarat itu pihaknya akan menyertai piket di luar Parlimen, yang dijangka bermula 11 pagi.

Khalid menambah, MTUC bersedia untuk berhadapan dengan kesan daripada tindakan mereka termasuk kemungkinan halangan daripada pasukan polis.

“Kami dari MTUC, mewakili pekerja, demi hak pekerja... biarkan mereka adakan piket. Kami akan tetap hadir di sana (Parlimen),” katanya lagi.

Selasa lalu, Kementerian Sumber Manusia berkata MTUC yang bercadang mengadakan tindakan berpiket tidak wajar membangkitkan bantahan mereka di “saat pembentangan di Parlimen.”

“Kementerian ingin menegaskan bahawa sebelum pindaan ini dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan, semua cadangan pindaan ini telah melalui proses konsultasi bersama wakil-wakil pertubuhan majikan dan kesatuan sekerja.

“Sebanyak 18 kali sejak awal tahun 2010 lagi. Selain itu, draf cadangan pindaan turut telah dipanjangkan untuk pandangan dan maklum balas daripada wakil majikan dan pekerja. Justeru, pindaan ini tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana telah melalui proses konsultasi yang komprehensif bersama pihak-pihak yang berkepentingan,” kata Kementerian Sumber Manusia.

Sehubungan itu, kata kementerian, adalah diharapkan cadangan pindaan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak demi memelihara kebajikan pekerja dan menjamin keharmonian perhubungan perusahaan.

Kenyataan itu dikeluarkan mengulas laporan The Malaysian Insider sebelum ini memetik Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor berkata, mereka akan berpiket pada hari pertama sidang Parlimen bulan depan jika Putrajaya meneruskan perbahasan rang undang-undang buruh tanpa perbincangan di majlis melibatkan tiga pihak.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja telah ditangguhkan dua kali sebelum ini. Antara lain Rang Undang-undang Kerja didakwa merugikan kaum pekerja kerana jika diluluskan akan membolehkan sistem kontraktor pekerja, yang pernah digunakan sebelum negara merdeka, diamalkan kembali.

MTUC mendakwa ia akan merugikan pekerja dari segi kebajikan mereka dan menjejaskan masa depan pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.

Halim berkata dalam pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini MTUC telah diberi jaminan bahawa rang undang-undang buruh termasuk Rang Undang-undang Kerja tidak akan dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan selanjutnya dalam NLAC, yang hanya diaktifkan minggu lalu.

NLAC merupakan majlis dianggotai kerajaan, majikan dan pekerja. Selain peruntukan berkenaan sistem kontraktor sosial, MTUC mahu kerajaan memasukkan cuti bersalin 90 hari dan menaikkan had kerja lebih masa sehingga 130 jam sebulan.

Tiada ulasan: