KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mengambil langkah berani membentangkan satu angka yang akan menjadi angka gaji minimum dalam bajet alternatif Pakatan Rakyat.
Perkara itu diumumkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli selepas selesai mesyuarat siri perbincangan Bajet Pakatan Rakyat 2012 di Sekretariat Pakatan Rakyat, Petaling Jaya, tengahari tadi.
“Dalam bajet Pakatan Rakyat nanti akan diumumkan angka gaji minimum di seluruh negara sebab ini yang selalu diperjuangkan golongan pekerja yag masih belum dijawab BN,” kata Rafizi.
Menurutnya, langkah itu diambil kerana Barisan Nasional selama ini cuba berdolak dalih dan tidak mahu menetapkan satu angka gaji minimum kepada golongan pekerja di seluruh negara.
“Komitmen Pakatan Rakyat terhadap gaji minimum ini berbeza dengan Barisan Nasional sebab BN berdolak-dalih.
“Mereka tidak mahu komited kepada satu angka nasional gaji minimum,” kata Rafizi merujuk kepada Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang diluluskan di Parlimen sekitar Julai lalu.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang turut terlibat dalam mesyuarat itu pagi tadi menyatakan Pakatan Rakyat tetap komited untuk memastikan kepentingan majikan terpelihara walaupun apabila gaji minimum versi Pakatan Rakyat dilaksananakan.
“Kita akan pastikan ada mekanisme untuk mengurangkan beban majikan daripada pelaksanaan gaji minimum ini.
“Kita juga akan umumkan beberapa siri sokongan kepada industri secara khususnya majikan untuk membantu mereka mungkin dalam bentuk pengecualian cukai agar mereka mampu meningkatkan produktiviti buruh.
“Dan juga penggunaan tabung latihan yang lebih baik untuk mengurangkan kerisauan majikan tentang perlaksanaan gaji minimum yang dikhuatiri akan membebankan mereka,” kata Tian Chua.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula menegaskan gaji minimum yang dicadangkan Pakatan Rakyat itu akan tetap mengambil kira produktiviti pekerja.
“Kita akan pastikan gaji minima ini terikat dengan produktiviti.
“Sebab itu gaji minima ini perlu dibincangkan dalam kerangka untuk mengangkat produktiviti para pekerja,” kata Dr Dzulkefly.
Pakatan Rakyat akan membentangkan angka gaji minimum itu yang seragam di seluruh negara seminggu sebelum bajet tahunan dibentangkan 7 Oktober ini, kata Dr Dzulkefly.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan