Ahad, 22 Mei 2011

Video seks: Proses mahkamah akan dedah semua, kata Hisham

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Kebenaran mengenai rakaman video seks yang didakwa melibatkan seorang lelaki mirip pemimpin Pakatan Rakyat, yang didedahkan oleh “Datuk T” Mac lalu, akan terdedah sepenuhnya apabila kes itu dibawa ke mahkamah, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, proses mahkamah akan mendedahkan segala-galanya mengenai rakaman itu termasuk sama ada ia rakaman tulen serta siapa yang melakukannya.

Naib Presiden Umno itu berkata, walaupun pihak yang didakwa adalah orang yang mendedahkannya, butir-butir rakaman itu masih tetap perlu dibangkitkan dalam keterangan yang dikemukakan di mahkamah.

“Tidak perlu bimbang kerana orang ramai akhirnya akan tahu segala-galanya termasuk siapa pelakunya,” kata beliau dipetik lapor akhbar tempatan hari ini.

“Oleh itu, saya minta semua pihak agar jangan mengikut emosi, sebaliknya bersikap rasional serta bersabar kerana melalui pengalaman lalu, kebenaran mengenai sesuatu perkara itu sering tenggelam akibat putar belit yang memberikan persepsi yang tidak betul,” katanya dalam laporan Mingguan Malaysia.

Hishammuddin mengulas desakan pelbagai pihak yang meminta identiti pelaku lelaki dalam rakaman video seks yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang didedahkan kepada orang ramai.

Sehingga kini, polis enggan mendedahkan identiti tersebut atas alasan tiada keperluan berbuat demikian.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkali-kali menegaskan pihaknya tidak akan mendedahkan identiti si pelaku dalam rakaman itu.

Kata Hishammuddin, selain siasatan terhadap pihak yang mendedahkan rakaman itu, siasatan juga dibuat terhadap laporan polis oleh pihak yang mendakwa lelaki dalam video itu bukan dirinya.

“Berbohong dalam laporan polis juga adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” ujarnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan polisnya pada 22 Mac lalu menafikan lelaki dalam video seks yang tersebar itu adalah beliau.

Hishammuddin turut mempertahankan keengganan polis mendedahkan pelaku rakaman video seks itu kerana pasukan itu bukan pihak yang sepatutnya berbuat demikian.

Tiada ulasan: