Isnin, 2 Mei 2011

S'gor sedar kebimbangan pemegang bon air

MALAYSIA KINI
Kerajaan Selangor menyedari kebimbangan pemegang-pemegang bon air susulan laporan bahawa bon mungkin menghadapi penurunan rating sekiranya perbincangan penyusunan semula industri air tidak diselesaikan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat menyelesaikann isu dengan kerajaan Persekutuan menyusun semula perkhidmatan air seperti yang diperuntukkan bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Katanya, kerajaan Selangor yakin perbincangan yang sedang berjalan akan membawa keputusan positif, memberi manfaat kepada rakyat serta menggalakkan lagi pertumbuhan industri.

“Penyelesaiannya menggunakan pendekatan holistik dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pemegang-pemegang saham,” kata Abdul Khalid.

Menteri besar berkata, pihaknya menantikan jawapan dan maklum balas dari Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau untuk menyelesaikan segera rundingan itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, kerajaan persekutuan telah memberi lampu hijau kepada Kerajaan Selangor pada Januari 2008 untuk menyatukan pemegang konsesi air ini di bawah syarikat milik penuh Kerajaan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Selepas Pakatan Rakyat memerintah pada Mac 2008, menteri besar memutuskan untuk menstruktur semula industri air dengan menawarkan pampasan kepada pemegang konsesi sebanyak RM5.7 billion.

Pemegang konsesi menolak tawaran ini kerana mendakwa jumlahnya tidak cukup untuk menampung hutang-hutang yang ditanggung syarikat konsesi yang berjumlah RM6.4 billion.

Selepas semakan semula empat bulan kemudian, Kerajaan Selangor menawarkan pampasan sebanyak RM9.3 billion dan tawaran ini diterima konsesi SPLASH dan ABBAS.

Pada Mac 2010, kerajaan persekutuan membuat tawaran kepada pemegang konsesi berjumlah RM10.3 billion tetapi ditolak oleh Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Pada Januari 2011, Kerajaan Selangor sekali lagi membuat tawaran pengambilalihan termasuk menawarkan arbitrasi antarabangsa (International Arbitration) dalam memastikan pengambilalihan dilaksanakan dengan integriti dan adil kepada semua pemegang konsesi.

Tiada ulasan: