Sabtu, 14 Mei 2011

Penyanyi veteran Orchid Abdullah meninggal dunia

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER



Gambar fail Orchid Abdullah dirakamkan pada tahun 2003. — Foto ihsan celapakit.net
KUALA LUMPUR — Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini tengah hari tadi.

Allahyarham yang terkenal dengan lagu “Penawar Rindu” ketika era 1960-an dan 1970-an meninggal dunia kira-kira 12.40 tengah hari, lapor Berita Harian Online.

Laporan media menyebut penyanyi itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil sejak tiga tahun lalu.

Ketika aktif menyanyi, Orchid merupakan salah seorang penyanyi pujaan ramai yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia.

Penyanyi kacukan Arab dan Inggeris ini sering membuat persembahan dengan diiringi oleh kumpulan Les Coasters.

Sebelum bergelar artis ternama, Allahyarham Orchid merupakan seorang pendidik dan pernah bertugas sebagai guru sementara di Sekolah Sri Mersing.

Bakat dan minat tersebut bagaimanapun tidak pernah menghalang beliau aktif dalam kerja-kerja kesenian khususunya ketika melanjutkan pelajaran di salah sebuah Maktab Perguruan di Johor.

Antara lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham ialah Ikatan Janji (bersama M. Fadhil & Les Coasters), Penawar Rindu, Carilah Ganti, Idaman Dara, Harapan Ku Hampa, Kau Menghilang, Pesan-Ku, Harapan Bangsa, Gerak Maju, Seruan Kasih dan Muda Mudi

Allahyarham juga pernah menerima anugerah Seniman Veteran pada Bintang Popular Berita Harian 2003.

Dalam pada itu, Bernama Online melaporkan, suami Allahyarham, Datuk Mokhtar Omar, 70, yang sedang dirawat di Unit Rawatan Jantung di hospital yang sama, dikatakan berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik Tanah air (PAPITA) Datuk M. Daud Wahid, yang juga sahabat Allahyarham, berkata Allahyarham Orchid berada dalam keadaan tenat baru-baru ini.

Katanya penyanyi yang popular dengan lagu “Penawar Rindu” itu menghidap ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sejak tiga tahun lalu.

Menurut M. Daud, Allahyarham dibawa ke hospital tersebut pada pukul 3 pagi semalam di mana beliau ditempatkan di wad biasa sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

M. Daud berkata Allahyarham malah sempat berkata kepadanya, “Minta maaf, saya ini tidak lamalah,” sebelum beliau jatuh koma pagi semalam.

Jenazah Allahyarham dimandikan di hospital tersebut dan dibawa ke Masjid As Sobirin, AU1, Keramat di sini untuk disolatkan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat AU1 di sini selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak iaitu Nur Shalina Mokhtar, 42, Md Nor Shareen Mokhtar, 39, Mohd Noor Shafri Mokhtar, 35 dan Nur Shafinaz Mokhtar, 31.

Tiada ulasan: