Khamis, 19 Mei 2011

Mesyuarat Khas Penstrukturan Semula Air, Mungkin Positif - Khalid

Ditulis oleh Hafizan Taib



SHAH ALAM : Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat khas dengan Kerajaan Persekutuan, bulan depan, bagi membincangkan penyelesaian isu penstrukturan semula industri air.

Bagaimanapun, Khalid berkata kerajaan negeri tetap dengan pendiriannya untuk meluluskan pelaksanaan Projek Langat 2 hanya selepas proses penstrukturan semula air diselesaikan terlebih dahulu.
“Projek ini (Langat 2) patut dilaksanakan selepas isu penstrukturan air diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Khalid berkata kerajaan negeri tidak menolak cadangan Projek Langat 2 yang menelan belanja RM8.6 bilion itu, namun ia harus diteliti terlebih dahulu untuk mengekang sebarang bentuk ketirisan.

Beliau turut menzahirkan kekesalaanya apabila Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta dua pemegang konsesi dilihat lebih berminat untuk menakut- nakutkan rakyat kononnya Selangor akan mengalami krisis air pada 2014.

“Amat malang apabila Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta dua pemegang konsesi iaitu Syabas dan Puncak Niaga dilihat lebih berminat menakut-nakutkan rakyat kononnya akan berlaku krisis air pada 2014 untuk mendesak Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan pembangunan bagi projek Langat 2,” katanya.

KeTTHA dan SPAN sebelum ini menyatakan margin simpanan air akan merosot ke paras merbahaya dalam masa empat tahun akan datang, adalah berbeza dengan pandangan Lembaga Urusan Air Selangor (LUAS) dan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang pernah membuat penilaian mengenainya.

Taktik menakut- nakutkan rakyat ini dilihat sengaja dilakukan bagi mendesak kerajaan negeri meluluskan Projek Langat 2.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya memberikan kerjasama terbaik dalam urusan pengstrukturan semula industri air dimana melalui tawaran terakhir dimasukkan satu fasal yang membenarkan pemegang konsesi menggunakan Timbang Tara Antarabangsa (International Arbitration) jika tidak bersetuju dengan harga yang ditawar kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri tetap menekankan keutamaan mesti diberikan untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri air supaya kecekapan perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan, mengekalkan tarif air pada kadar yang munasabah dan dapat meneruskan pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan,” katanya dalam sidang media selepas majlis mesyuarat exco di sini hari ini.

Tiada ulasan: