KUALA LUMPUR — Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn. Bhd. (LBCN) memberi jaminan untuk menyiapkan projek perumahan Alam Perdana di Kuala Selangor, yang terbengkalai sejak sedekad lalu dengan menyediakan deposit RM41 juta dalam Tabung Projek Terbengkalai Negeri Selangor.
Mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) berkata, dana itu akan digunakan untuk menyiapkan 3,000 rumah yang sepatutnya telah disiapkan sejak 2001.
Justeru kata beliau, LBCN diberi tempoh enam hingga 18 bulan untuk menyiapkan projek tersebut.
“Jika syarikat ini gagal menyiapkannya, mereka akan kehilangan deposit. Kita akan menggunakan dana ini untuk mendapatkan pemaju lain bagi menyiapkan projek perumahan ini,” katanya.
Selain itu, Khalid juga berkata, bagi pembeli yang telah diisytiharkan muflis kerana gagal membayar pinjaman perumahan, kerajaan negeri akan cuba membantu dengan membuat perbincangan dengan bank-bank yang terlibat.
“Saya secara peribadi akan bertemu pihak bank untuk memastikan pembeli tidak dibebankan dengan masalah ini,” katanya lagi.
Laporan media akhir tahun lalu menyebut kerajaan negeri Selangor perlu membelanjakan hampir RM120 juta untuk mengambil alih tanah seluas 360 hektar (900 ekar) di Bandar Alam Perdana susulan kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan itu.
Kos itu melibatkan pengambilalihan 392 ekar tanah bernilai RM52 juta untuk pembinaan 2,500 unit rumah kos rendah (KRK), tanah untuk pembinaan kolam tadahan air hujan (tangki air) seluas 294 ekar bernilai RM39.1 juta dan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Kumbahan seluas 214 ekar bernilai RM28.4 juta.
Mengenai isu Kampung Kerandang, kata Khalid, kerajaan negeri telah mengenal pasti 30 keluarga yang tinggal di kampung itu dan beliau akan mengadakan pertemuan bagi memastikan mereka adalah peneroka asal.
“Kira-kira 1,000 ekar (400 hektar) Hutan Simpan Bukit Tarek telah diasingkan dan diberikan sebagai tanah TOL di bawah kerajaan terdahulu.
“Kerajaan negeri mendapati bahawa tanah TOL ini dikeluarkan untuk tanaman kontan,” katanya.
Khalid berkata, kelapa sawit bukan tanaman kontan, jadi perlu dikenal pasti siapa yang menerima tanah TOL ini.
Khalid juga mengarahkan mereka yang secara tidak sengaja membeli tanah di Kampung Kerandang supaya mendaftar di Pejabat Tanah dan Galian kerana urus niaga itu mungkin menyalahi undang-undang.
“Walaupun kerajaan negeri boleh mengabaikan transaksi haram ini, kami akan tetap bertemu dengan mereka atas dasar kemanusiaan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan