Rabu, 11 Mei 2011

Keputusan cabar pengharaman kartun Zunar 14 Julai

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kula Lumpur hari ini menetapkan 14 Julai depan untuk mendengar keputusan berhubung tindakan Malaysiakini.com dan penerbit buku, Sepakat Efektif bagi mencabar pengharaman yang dikenakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke atas dua buku komik kartunis Zunar, ‘komik 1Funny Malaysia’ dan ‘Perak Darul Kartun’.

Penetapan tarikh keputusan itu dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan dan Kuasa Khas 2, Datuk Rohana Yusuf dalam kamarnya selepas mendengar kedua-dua hujahan plaintif dan defenden berhubung permohonan untuk semakan kehakiman.

Malaysiakini.com dan penerbit buku, Sepakat Efektif diwakili peguam K.Shanmuga, Nizam Bashir dan Aston Paiva dari Tetuan Azzat & Izzat Peguamcara Pemohon-Pemohon.

Manakala peguam defenden adalah dari Jabatan Peguam Negara yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri iaitu Nor Hisyam Ismail dan Mohd Salehuddin.

Dalam hujahan hari ini, Nor Hisyam mengemukan beberapa sebab kerajaan mengambil tindakan mengharamkan dua komik kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque kerana didakwa mengandungi unsur-unsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam selain membangkitkan kebencian rakyat terhadap pemimpin negara, badan berkuasa dan badan kehakiman.

Tambahnya lagi, kebebasan bersuara yang diberikan kepada rakyat bukan hak mutlak rakyat tetapi boleh dikekang oleh kerajaan.

Sementara itu, Zunar ketika ditemui melahirkan rasa tidak puas hatinya kerana pihak defenden membangkitkan isu dua buku komik tersebut kononnya berpotensi memudaratkan ketenteraman awam.

“Mahkamah hari ini membangkitkan isu ‘buku ini’ ada potensi untuk memudaratkan ketenteraman awam. Keadaan ini bertentangan dengan prinsip kebebasan hak bersuara.

“Setakat buku ini diterbitkan tiada demonstrasi yang dianjurkan oleh orang awam,” kata Zunar.

’1Funnya Malaysia’ diterbitkan pada bulan November 2009 dan ia adalah rampaian kartun satira pentadbiran dan politik Malaysia oleh Zunar yang diterbitkan Malaysiakini sejak Oktober 2006 sehingga November 2009.

Manakala ‘Perak Darul Kartun’ yang diterbitkan Sepakat Efektif pula diterbitkan pada November 2009 dan ia mengandungi rampaian kartun beberapa kartunis yang diketuai Zunar.

KDN mengharamkan pencetakan, penghasilan, jualan, pengedaran, atau pemilikan kedua-dua buku itu atas alasan kononnya ia mengganggu ketenteraman awam.

Mereka memohon agar pengharaman ke atas buku itu diisytihar tidak sah kerana ia bercanggah dengan Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Percetakan 1984, dan melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: