Rabu, 11 Mei 2011

Kenaikan Harga Gula Umpama Pisau Dileher Rakyat

Ditulis oleh ZeanaAima



REMBAU : Pengumuman kenaikan harga gula menyaksikan kerajaan pemerintah sekali lagi meletakkan pisau dileher peniaga kecil dan rakyat marhaen.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin berkata hanya kerana mahu menjimatkan pemberian subsidi gula sebanyak RM116.6 juta, kerajaan pemerintah seolah- olah menutup mata kepada segala perit jerih yang membelit rakyat bawahan.

Hakikatnya, berbilion ringgit boleh dijimatkan jika tiada ketirisan kewangan, rasuah dan pengurusan harta negara yang korup.

"Apalah nilai ini (RM116.6 juta) jika dibandingkan dengan kes - kes ketirisan, rasuah dan wang negara hilang yang dilaporkan (itu belum masuk yang belum terbongkar).

"Sebenarnya sedikit sahaja wang boleh diselamatkan tidak berbaloi dengan nilai pertambahan kesukaran hidup rakyat," tegasnya.

Berkuatkuasa semalam, harga gula meningkat menjadi RM2.30 sekilogram berbanding sebelum ini RM2.10 sekilogram.

Kerajaan pemerintah beralasan terpaksa menaikkan harga barangan asas tersebut kononnya kerajaan tidak lagi berdaya untuk melindungi rakyat.

"Peniaga kecil pasti akan terhimpit dengan kenaikan harga gula dan jika mereka menaikkan harga, mereka terpaksa berdepan tindakan saman dari kerajaan persekutuan yang akhirnya menguntungkan kerajaan dengan berjaya mengutip duit saman," katanya lagi.

Badrul Hisham berkata, kerajaan persekutuan bertindak melalikan rakyat dengan menggunakan istilah 'merasionalisasikan' subsidi secara berperingkat.

Kerajaan juga bingkas membandingkan harga subsidi dinegara ini dengan negara jiran.

"Seperti biasa teknik yang sama 'membodohkan rakyat' ialah dengan membandingkan dengan negara jiran," ujar Badru Hisham.

Ulasan yang selalu diterima adalah, walaupun kerajaan menaikkan harga, namun harga di Malaysia jauh lebih murah berbanding di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, seiring dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).

Kenaikan yang dikenali sebagai "4-dalam-1" itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya sekitar Kuala Lumpur.

Tatkala itu, harga gula turut meningkat 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram. Sebelum itu, berlaku juga kenaikan pada 15 Julai tahun lalu dalam kenaikan "5-dalam-1.

Selain gula, turut mengalami kenaikan dua gred petrol, diesel, gula dan gas.

Industri gula ini telah menjadi industri yang dimonopoli oleh kelompok kroni tertentu yang punya kaitan dengan kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, Badrul Hisham mendesak agar industri gula ini dibuka dari dimonopoli kelompok tertentu dan diagihkan kepada mereka yang layak.

"Industri gula telah dimonopoli oleh kelompok kroni tertentu. SAMM mendesak agar industri gula ini dibuka dari dimonopoli tertentu, yang walau apa pun berlaku mereka tetap kaya dan untung," katanya lagi.

Tiada ulasan: