Jumaat, 27 Mei 2011

DPPP Desak KDN Kaji Semula Akta Ordinan Darurat

Ditulis oleh Afix Redzuan



KUALA LAUMPUR : Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) mendesak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula penggunaan Akta Ordinan Darurat yang menggunakan pendekatan penahanan tanpa bicara seperti yang diamalkan dalam Akta Keselamatan Negeri (ISA).

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata penggunaan Ordinan Darurat merupakan tindakan yang tidak wajar dan dan memerlukan perhatian serius terutamanya daripada pihak kementerian yang bertanggungjawab.

“ Kesimpulan penahanan tanpa bicara, kita khuatir ada ruang manipulasi terhadap pesalah. Ini adalah ruang yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu tutup. Oleh itu, saya daripada Dewan Pemuda Pas pusat mendesak kerajaan mengkaji semula ordinan darudat ini,” katanya.

Beliau menambah, perkara ini dikhuatiri akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu sebagai jalan mudah untuk menyelesaikan beberapa masalah jenayah yang sedang berleluasa.

“Saya sendiri mendesak pihak kerajaan mengkaji semula Ordinan Daruruat ini. Bila ia berlaku tidak mustahil ada unsur-unsur manipulasi berlaku,” katanya.

Satu memorundum diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) oleh Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah dan diterima oleh Ketua Penerangan Setiausaha Suhakam Ameer Izyanif hari ini.

Dalam kes terbaru di Johor Bahru, empat orang remaja bawah umur ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) No. 5/69 tanpa sebarang bukti yang berkait dengan kegiatan jenayah.

Sementara pada 29 Mac 2011, 10 orang remaja ditahan pihak polis selepas berlaku sedikit perselisihan melibatkan kumpulan remaja terbabit di Restoran Osman Sri Alam Johor Bharu.

Setakat ini, 6 orang remaja dibebaskan sementara selebihnya masih ditahan di Balai Polis Ayer Molek dan ibu bapa hanya dibenarkan melawat mereka pada setiap Khamis selama 15 minit.

Tiga daripada mereka merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menunggu peluang menyambung pelajaran.

Empat remaja yang ditahan ialah Mohd Syahiran Tumin, 18 tahun, Mohd Razif Mahadi, 18 tahun, Mohd Rizal Ibrahim, 18 tahun dan Muhammad Noorariff Bakran, 19 Tahun.

Ibu kepada Syahiran, Rosmawati Taib melahirkan kekecewaan berikutan penahanan anak beliau di bawah Ordinan Darurat.

“Harapan saya agar anak saya dibebaskan. Kedua, anak saya masih ingin melanjutkan pelajaran dan hukuman yang dijatuhkan akan menggugat masa depannya. Anak saya banyak terlepas tawaran belajar, saya harap ada pembelaan dan jika benar bersalah, beritahu apa kesalahan yang dilakukan. Sebagai ibu saya boleh terima jika benar-benar bersalah. Saya tahu anak saya tidak bersalah,” katanya.

Sementara itu, Bakran Kahar, 51 tahun, bapa kepada Noorariff percaya anaknya tidak terlibat dalam perbuatan jenayah berat memandangkan anak beliau merupakan Pengerusi Persatuan Belia Pasir Gudang.

“Kita bukan orang Bangladesh atau Vietnam. Kita orang sini, orang Malaysia. Kalau memang terbukti bersalah itu kita tidak kisah. Ini anak kita baru habis sekolah disabitkan dengan kegiatan sebegini. Adilkah begini? Inikah yang dikatakan rakyat Malaysia, ada pembelaan dan sebagainya “ soalnya.

Sebelum ini, dua kes melibatkan penyalahguaan Ordinan Darurat melibatkan penahanan beberapa remaja di Rawang. Peguam Lawyers Of Liberty, Fadiah Nadwa Fikri juga diancam dengan ugutan “Jangan Sampai Jadi Macam SPRM’ mengambil keterangan anak guamnya, Mohamad Arif Abu Samah di IPD Gombak.

Tiada ulasan: