Jumaat, 27 Mei 2011

Biasiswa: Usah tunjuk lebih kuasa dari kerajaan, Pemuda MIC kecam Perkasa

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pemuda MIC mencabar Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali supaya bersuara untuk rakyat, bukannya mempertahankan kerajaan jika ada kelemahan dalam pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang muncul isu kontroversi sekarang.

Sehubungan itu, Setiausaha Pemuda MIC kebangsaan C Sivarraajh berkata, kenyataan Ibrahim menerusi badan yang diwakilinya semalam menunjukkan ia lebih berkuasa berbanding kerajaan dalam isu membabitkan masa depan pelajar.

“(Oleh itu) pergerakan Pemuda MIC dengan sekeras-kerasnya ingin membantah kenyataan akhbar oleh YB Ibrahim Ali (semalam) yang memberi amaran kepada MIC dan MCA agar tidak bercampur tangan dalam urusan JPA.

“Persoalan yang timbul di sini adalah apakah YB Ibrahim Ali sungguh berkuasa untuk bersuara demi kerajaan dan mampu memberikan amaran kepada MIC dan MCA parti politik yang terulung di Malaysia bersama Umno?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, MIC dan juga rakan parti komponen dalam BN iaitu MCA merupakan kerajaan pemerintah dan apa salahnya menegur antara satu sama yang lain.

“YB Ibrahim Ali mewakili parti mana? Beliau merupakan seorang calon bebas dan bersuara menerusi NGO yang bernama Perkasa.

“Saya ingin mencabar YB Ibrahim Ali untuk tampil bersuara dalam menyuarakan isu biasiswa JPA dan kelemahan dalam implementasi arahan Kabinet,” katanya lagi.

Oleh itu kata Sivarraajh, beliau mencabar Ibrahim Ali bahawa, sebagai seorang wakil rakyat, harus bersuara untuk rakyat bukannya mempertahankan kerajaan sekiranya ada kelemahan dalam implementasi keputusan Kabinet.

“Keputusan YAB Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri untuk memberi biasiswa kepada semua yang menerima 8A+ dan ke atas dalam SPM harus dihormati.

“Sekiranya arahan Perdana Menteri itu tidak disambut dengan baik oleh JPA yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, maka ini menunjukkan kelemahan serius dalam pentadbiran. Arahan Perdana Menteri diingkari oleh pegawai kerajaan dan ini harus dipandang serius,” tegas Sivarraajh.

Katanya lagi, untuk pengetahuan umum dan khas buat Ibrahim, seramai 363 pelajar yang layak mendapat tawaran biasiswa JPA tidak diberikan skim itu.

“Ini merupakan sesuatu yang serius. Kami dari Pemuda MIC menghormati keputusan Perdana Menteri dan ingin keputusan itu dilaksanakan tanpa sebarang isu.

“Kita tidak menyoal tentang siapa yang dapat biasiswa luar negara mahupun dalam negeri, apa yang menjadi isu adalah kerana masih ramai yang layak, namun tidak diberikan biasiswa berkenaan?” katanya.

Kata Sivarraajh, sekiranya Ibrahim ingin bersuara untuk kaum Bumiputera menerusi Perkasa, sayap itu tidak ada isu dan beliau boleh meneruskannya dengan sebaik yang mungkin, akan tetapi jangan ganggu atau menyoal hal ehwal dalaman BN.

“Kami parti komponen BN dan bukannya calon bebas yang bersuara dengan sebuah NGO.

“Kami mempunyai hak untuk bersuara demi kaum India. MIC sedang berbincang dengan Perdana Menteri dan pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau, Pemuda MIC ingin menasihatkan Ibrahim agar jangan masuk campur hal ehwal BN dan kalau boleh luangkan lebih masa di kawasan Parlimen Pasir Mas yang dimenanginya.

“Kami tidak memerlukan nasihat YB Ibrahim Ali mahupun Perkasa. Secara kesimpulannya, ‘mind your own business YB Ibrahim Ali and Perkasa’!” kata beliau.

Sivarraajh menambah, Pemuda MIC juga mahu Perdana Menteri segera campur tangan dalam isu tawaran biasiswa ini agar tiada sesiapa yang sengaja memanipulasikan isu berkenaan.

Najib dijangka akan mengadakan pertemuan dengan JPA berkenaan isu ini esok.

“Kami percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri dan kami tahu benar bahawa Perdana Menteri sangat prihatin terhadap kaum India,” katanya.

Tiada ulasan: