Sabtu, 9 April 2011

Lapan pegawai Imigresen dituduh rasuah RM122,140

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Lapan pegawai Imigresen termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini, semalam atas tuduhan memperoleh rasuah RM122,140, tahun lalu.

Kesemuanya adalah penjawat awam gred KP17 yang berkhidmat di Jabatan Imigresen, Bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Kelang.

Mereka adalah Mohamad Izuwanshah Samsuri, 25; Muhammad Huzzail Ahmad, 31; Nor Shahazlina Sulaiman, 25; Md Shahrizal Che Dan, 26; Ahmad Zahed Abd Alim, 27; Mohd Hafiz Zakarian, 27; Mohd Khairul Haqimie Kamaruddin, 26 dan Azmir Mahadi, 28.

Jumlah itu meliputi 83 pertuduhan dan didakwa sebagai upah kerana memudahkan urusan penumpang Indonesia memasuki negara ini tanpa mengikut syarat sah.

Mereka didakwa memperoleh wang itu secara tunai dan menerusi beberapa transaksi membabitkan bank sekitar Pelabuhan Klang, dekat sini antara April hingga September 2010.
Md Shahrizal menghadapi 31 pertuduhan dan adalah individu didakwa paling banyak memperoleh wang suapan itu iaitu RM51,760.

Dia didakwa menerima wang terbabit daripada pekerja feri, Khairulshah Hosnie secara tunai dan menerusi akaun Khairulshah sendiri, kira-kira jam 3 hingga 6 petang, antara 20 April hingga 16 Jun 2010.

Sementara itu, Mohamad Izuwanshah menghadapi 25 pertuduhan melibatkan jumlah RM31,690.

Dia didakwa memperoleh wang itu daripada individu sama secara tunai di Stesen Minyak Petronas Jalan Pandangan, dekat sini dan menerusi transaksi akaun bank Mohamad Fazly Samsuri di bank CIMB Pelabuhan Klang, antara 21 April hingga 17 Jun 2010.

Pertuduhan terhadap kesemuanya mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kesemuanya diikat jamin antara RM4,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga kes pendakwaan itu dijalankan hadapan tiga hakim, terdiri Hakim, Mat Ghani Abdullah, Asmadi Hussain dan M Bakri Abd Majid.

Mat Ghani menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes Ahmad Zahed, Mohd Hafiz dan Mohd Khairul Haqimie manakala Asmadi menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes Nor Shahazlina dan Md Shahrizal.

M Bakri pula menetapkan sebutan kes bagi Mohamad Huzzail dan Mohamad Izuwan pada 27 April depan untuk lantikan peguam dan penyerahan dokumen.

Difahamkan, pada Oktober lalu, SPRM menjalankan siasatan terhadap jabatan itu berhubung kes jeti Pulau Ketam, Klang kononnya menjadi transit keluar masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia.

Tiada ulasan: