Khamis, 28 April 2011

1Melayu 1 Bumi Bukan Modal Untuk Tandingi 'Penyatuan Masyarakat Cina'

TVS NEWS


SHAH ALAM : Ahli Lajnah Politik PAS Pusat Khalid Samad menolak tanggapan Utusan Malaysia dan Mantan Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo bahawa Konsep 1 Melayu 1 Bumi adalah perjuangan yang sah dan mulia untuk menyatukan Bangsa Melayu bagi menghadapi 'penyatuan Masyarakat Cina'.

Menurut Khalid, kaum Cina bersatu bukanlah berdasarkan sentimen perkauman sebaliknya bagi menentang pemimpin yang korup dan rasuah serta tidak membawa kebaikan dalam mewakili mereka.

"Masyarakat Cina telah maju dari segi politik mereka. Mereka tidak lagi bercakap mengenai politik perkauman. Mereka lebih membicarakan persoalan kerajaan prihatin, telus dan adil. Fahaman politik mereka telah meningkat. Masyarakat Melayu pula masih dibelenggu politik perkauman, tidak fikir persoalan keadilan, kebenaran, rasuah dan sebagainya. tapi Melayu bersatu, atas dasar apapun tak tau. Masalah ini berpunca dari UMNO yang ingin kekalkan politik Melayu di tahap yang rendah.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo hari ini mendakwa kempen 1 Melayu 1 Bumi adalah jawapan orang Melayu kepada usaha kaum Cina memperkasakan DAP untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

Selain Khir, beberapa Pemimpin UMNO seperti Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presidennya Datuk Ahmad Zahid Hamidi turut menyokong Utusan dan menganggapnya sebagai 'Suara kaum Melayu' bertentangan dengan perjuangan Presiden mereka Datuk Seri Najib Razak yang cuba mempopularkan konsep 1 Malaysia.

Menurut Khalid beliau tidak melihat sebarang tujuan penyatuan konsep tersebut dapat membawa kebaikan kepada orang Melayu.

"Kita bercakap dari fakta, bukan sekadar daripada tajuk sahaja tapi apa yang dikatakan dalam ucapan-ucapan dan kita nampak konsep 1 Melayu 1 Bumi di mana kita bersatu kerana bangsa saja dan apa yang diperjuangkan itu adalah baik atau sebaliknya.

Khalid menegaskan, adalah tidak logik mengatakan DAP memenangi kerusi dalam Pilihan Raya kerana sentimen bangsa kerana mereka bukannya menentang calon Melayu.

"Dia nak menang di kerusi-kerusi itupun perlukan sokongan kaum lain. Setiap kali DAP bertanding, biasanya calon Cina lawan calon Cina. Masyarakat Cina tolak Cina BN sebab nak kerajaan yang bersih, telus dan adil. Bagaimana nak dikatakan perkauman sedangkan calon Cina menentang calon Cina?"

Justeru beliau menegaskan permainan Utusan ini hanyalah mainan UMNO untuk menakutkan orang Melayu.

"Tapi orang Melayu terus ditakut-takutkan supaya kekal dalam politik dunia ketiga iaitu politik perkauman. Mereka kata kalau UMNO jatuh, DAP naik, sedangkan tak ada satu kerusipun UMNO lawan DAP. Kalau UMNO lawan, dia akan lawan calon PAS atau calon Melayu PKR. Kalau UMNO Kalah yang naik adalah PAS atau calon Melayu PKR.

Tiada ulasan: