Khamis, 28 April 2011

Permohonan Penduduk Ladang Bukit Jalil Ketepi Notis Pengusiran 10 Mei

Ditulis oleh Radzi Razak



KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 10 Mei depan bagi membuat keputusan mengenai permohonan penduduk Ladang Bukit Jalil untuk mengenepikan notis pengusiran mereka oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.

Zabariah akan membuat keputusan berhubung injunksi interim yang dipohon oleh 41 penduduk berkenaan, yang merupakan bekas pekerja estet bagi menghalang Datuk Bandar Kuala Lumpur daripada merobohkan rumah mereka.

Mereka menfail permohonan itu selepas menerima satu notis dari Datuk Bandar pada 1 Mac meminta mereka mengosongkan rumah sebelum atau pada 14 Mac.

Bagaimanapun pada 14 Mac mereka memperolehi injunksi ex-parte dari Mahkamah Tinggi bagi menghalang Datuk Bandar Kuala Lumpur daripada merobohkan rumah mereka sehinga tarikh pendengaran inter-parte hari ini.

Zabariah turut melanjutkan injunksi sehingga 10 Mei.

Pada 14 Mac mereka menfail saman terhadap Datuk Bandar, menuntut bahawa plaintif mempunyai hak eksklusif dan ekuiti terhadap tanah itu, di samping memohon injunksi bagi menghalang Datuk Bandar daripada merobohkan rumah mereka.

Peguam penduduk berkenaan Datuk S.Ambiga berhujah bahawa mahkamah perlu meluluskan injunksi itu sementara menunggu pendengaran saman kerana menurutnya setiap orang mempunyai hak untuk tinggal di rumah masing-masing.

Seorang lagi peguam K. Ragunath pula berhujah bahawa tanah yang sebelum ini berkeluasan 18,000 ekar, kini tinggal 26 ekar selepas kawasan itu dibangunkan.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum ini berkata kawasan 26 ekar itu diberikan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan Muslim.

Ragunath berkata sekiranya tanah itu diberikan kepada jabatan tersebut, mengapa Dewan Bandaraya membabitkan diri dalam perkara itu.

Beliau turut menegaskan bahawa penduduk kawasan itu bukannya setinggan kerana mereka tidak menceroboh tanah itu, dan mereka sudah tinggal di kasasan itu sejak sekian lama.

Peguam Ashmadi Othman yang mewakili pihak Datuk Bandar pula berhujah bahawa Datuk Bandar sekadar melaksanakan tanggungjawab awam kepada kerajaan berhubung notis pengusiran itu, dan saman terhadap Datuk Bandar, adalah tidak betul.

Dalam pada itu, Peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri menyatakan betapa hujahan peguam DBKL tersebut sebagai memalukan dan bertentangan dengan apa yang diakui oleh notis yang diberikan itu sendiri.

"Pada hari ini, kita terkejut dan insiden memalukan ini terjadi apabila peguam DBKL tiba-tiba datang dan menyatakan mereka ini adalah penduduk setinggan yang perlu dihalau keluar dari tanah itu sedangkan notis 1 Mac lalu telah menyatakan bahawa mereka adalah bekas pekerja ladang dan jalan penyelesaian sedang diusahakan. Dalam afidavit kami juga jelas telah membernarkan mereka tinggal di situ sejak 1970 lagi.

Tiada ulasan: