Khamis, 28 April 2011

Nakhaie: Imam Besar bukan isu tapi pengikut fanatik Wahabi di Malaysia


KUALA LUMPUR— Kehadiran Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang dikaitkan dengan Wahabi bukan isunya tetapi pegawai Jakim yang mengesyaki beliau hanya patut memberi tumpuan mengekang pengikut fahaman itu di negara ini, kata bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Menurut Datuk Nakhaie Ahmad, walaupun Imam Besar itu berfahaman Wahabi namun sepanjang berada di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman menghormati amalan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi pegangan umat Islam Malaysia.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zain yang mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi melalui platform kerajaan dengan kerajaan adalah tidak wajar.

“Beliau (Sheikh Abdul Rahman) ini datang hanya seminggu sahaja, macam mana beliau nak suntik (fahaman Wahabi), lagipun saya tidak risau kerana beliau adalah Imam Besar Masjidil Haram dan ulama Arab Saudi menghormati kita punya pegangan dan mazhab Shafie walaupun beliau berpegang fahaman Wahabi.

“Kalau kita lihat sepanjang Sheikh Abdul Rahman berada di Malaysia, beliau menghormati pegangan kita dan mengikut apa yang kita lakukan, jadi kalau tuduh beliau cuba suntik fahaman Wahabi di Malaysia tidak wajar,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman adalah seorang tokoh agama yang berfikiran terbuka dan tidak akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan seperti menyuntik fahaman Wahabi.

“Beliau menghormati umat Islam di Malaysia malah turut mengatakan negara kita adalah contoh negara Islam.
“Saya percaya tujuan beliau datang ke Malaysia adalah baik iaitu untuk satukan umat Islam dan bukan nak suntik fahaman Wahabi yang bertentangan dengan pegangan kita,” katanya.

Bagaimanapun tegas Nakhaie, apa yang perlu dibimbangkan bukan kehadiran Sheikh Abdul Rahman namun pengikut fanatik Wahabi yang tidak menghormati pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

“Tapi yang membimbangkan adalah pengikut Wahabi di Malaysia yang tidak menghormati mazhab Shafie dan amalan Ahli Sunnah Waljamaah yang kita amalkan.

“Kalau Sheikh Abdul Rahman datang ke Malaysia beliau akan menghormati mazhab Shafie, yang menjadi mazhab rasmi di Malaysia tapi kalau pengikut fanatik Wahabi ini kalau kita ikut mazhab Shafie dikatakan bida’ah... itu beza Imam Besar Masjidil Haram dengan pengikut Wahabi di sini.

“Jurang antara Imam Besar Masjidil Haram dan pengikut Wahabi di Malaysia berbeza, imam ini menghormati mazhab kita tapi pengikut Wahabi tidak menghormati pegangan kita . . . itu beza antara orang yang mempunyai ilmu luas dengan orang yang berfikiran sempit,” tegasnya.

Justeru kata beliau, Zamihan sepatutnya memberikan tumpuan atau menghalang pergerakan pengikut Wahabi di Malaysia bukan mengkritik Sheikh Abdul Rahman.

“Tindakan Zamihan itu tidak betul, malah Sheikh Abdul Rahman tidak ada gerakan untuk melakukan perkara itu.

“Jadi saya minta supaya selepas ini kalau nak kata apa-apa berfikir dulu sebab walaupun imam ini berfahaman Wahabi tapi bukan semua pandangannya kita perlu tolak . . . ada yang kita boleh terima dan ada yang kita tidak boleh terima,” katanya.

Kelmarin Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.

Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Namun tindakan Zamihan itu dinafikan Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Jakim juga telah memanggil Zamihan berhubung perkara itu dan menjelaskan kunjungan Sheikh Abdul Rahman ke Malaysia.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata tindakan Zamihan itu tidak melambangkan individu yang berpegang kepada Ahli Sunah Waljamaah.

Selain itu, kata beliau, kritikan Zamihan terhadap Sheikh Abdul Rahman akan menjejaskan imej Jakim dan negara.

Tiada ulasan: