Khamis, 28 April 2011

Selangor Terus Bela Nasib Orang Asal

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan jawatankuasa Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor (JHEOA) untuk mengemukakan pelan rancangan penempatan semula orang asal di seluruh negeri itu.

Tan Sri Khalid berkata, ini kerana beliau tidak mahu masyarakat asal itu dipinggirkan dari sudut sosio ekonomi dan kehidupan sementara kerajaan negeri merancang pembangunan yang lebih pesat dalam jangka masa tertentu.

Justeru Khalid berkata kerajaan Selangor akan terus menerus mencari jalan untuk menyelesaikan permasalahan tanah penempatan orang asal supaya mereka dapat terus menetap di negeri itu.

"Saya telah meminta satu jawatankuasa orang asal untuk membuat perancangan bagi mengemukakan cadangan penempatan yang boleh dilakukan. Sekali gus membantu kerajaan menghulurkan bantuan dari pelbagai aspek bagi memastikan setiap rakyatnya berkebolehan dan berkemampuan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing," katanya.

Khalid sebelum itu menyampaikan cek bernilai RM480 ribu kepada lapan wakil orang asal pada Majlis Penyerahan Cek syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pampasan tersebut diberikan lanjutan daripada tuntutan kawasan bertindih oleh penduduk Orang Asal dengan tanah milik PNSB di Kuala Langat.

Menteri Besar Selangor itu menjelaskan bahawa tujuan asal tanah tersebut diambil untuk melaksanakan projek tambakan banjir Sungai Langat - Sungai Klang.

Namun jelas Khalid memandangkan kos pembinaan terusan itu sangat tinggi, maka kerajaan Selangor berpendirian untuk menggantikan projek tersebut dengan kolam takungan air yang lebih efektif dan menjimatkan.

Seterusnya Khalid mencadangkan agar wang pampasan yang diterima agar dilaburkan menerusi Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menjanjikan pulangan lebih baik.

Selain itu beliau menyarankan agar JHEOA membantu Orang Asal untuk menguruskan penanaman kelapa sawit dan getah agar sumber pendapatan berterusan dapat dinikmati keterunan itu.

"Saya berharap JHEOA dapat membantu mereka tentang cara-cara menggunakan wang tersebut dengan sebaik mungkin supaya penanaman kepala sawit dan getah itu dapat dijaga dengan baik supaya beroleh hasil yang berterusan," kata Khalid lagi.

Sementara itu Orang Asal yang ditemui media mengucapkan terima kasih kepada PNSB dan kerajaan negeri Selangor kerana mengambil berat kebajikan mereka.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada MB negeri Selangor, PNSB dan Jabatan Orang Asli Shah Alam.

"Masing-masing semua ada akaun, jadi saya akan menyimpannya dengan sebaik mungkin. Saya juga akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan cadangan yang diusulkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid," kata Kartun Anak Kecil yang juga Setiausaha JKKK Kampung Orang Asli Bukit Kecil.

Tiada ulasan: