Sabtu, 30 April 2011

Menjaja surat khabar tanpa lesen boleh didenda RM100,000: Runji

KENINGAU KINI

KENINGAU: Aktiviti penjaja surat khabar tanpa lesen yang sah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan A. Runji Abd. Hamid memberitahu, kesalahan itu boleh dirujuk melalui Seksyen 12 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010.

Katanya, jika sabit kesalahan orang ramai yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda yang berat.

“Kita tidak bertolak ansur dengan sesiapa yang dengan sengaja melakukan perlanggaran undang-undang ini,” katanya ketika mengulas aduan ramai pengguna yang tidak berpuas hati dengan aktiviti menjaja surat khabar di Keningau, apa yang mereka sifatkan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga akhbar itu.

Sejak sekian lamanya kegiatan menjaja surat khabar di sini dilakukan secara berleluasa oleh warga asing, yang memasuki negeri dengan menggunakan ‘pas pelancong’, dan memperolehi pendapatan harian antara RM60 hingga RM120.

Runji berkata, aktiviti itu bercanggah dengan undang-undang dan meminta mereka yang terlibat untuk berhenti dengan serta-merta.

“Masalah di sini ialah mereka meletakkan harga dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Akbar tempatan yang yang sepatutnya berharga RM1.20 senaskah dijual oleh penjaja dengan harga antara RM1.40 hingga RM1.60 sen, menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna.

Akhbar New Sabah Times yang merupakan satu-satunya yang mempunyai pejabat urusan di daerah ini, selain menjadi mangsa ekploitasi penjaja juga dihujani rungutan pengguna yang tidak berpuas hati dengan aktiviti itu.

Pada Isnin, Gabungan Anak-anak Peribumi Pedalaman (Peribumi) mengeluarkan kenyataan, yang meminta pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan serta Majlis Daerah Keningau (MDK) memastikan kegiatan ditangani.

“Penekanan di sini ialah kita tidak mahu pengguna tertipu dan membelanjakan wang yang tidak sepatutnya mereka belanjakan,” tekan Peribumi dan menambah, membeli akhbar yang dijaja oleh warga asing di kalangan pendatang tanpa izin merupakan sokongan kepada mereka untuk terus tinggal secara bebas di daerah ini.

Peribumi turut memberi amaran kepada penjual utama akhbar di sini supaya tidak mengekploitasi warga asing untuk tujuan melariskan jualan akhbar mereka.

“Akhbar harus dibeli di permis perniagaan akhbar yang dibenarkan,” jelas kelab penyokong dasar-dasar kerajaan itu.

Wakil Rakyat Liawan yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Sairin Hj. Karno turut menyokong dengan cadangan pengguna harus membeli terus akhbar di premis yang dilesenkan, dalam usaha membangun minat mereka membaca.

Katanya, apabila pengguna datang sendiri ke premis menjual akhbar, mereka boleh membeli buku-buku yang lain berbanding membeli akhbar melalui penjaja yang tidak mempunyai pilihan.

Di Keningau membeli akhbar melalui penjaja telah dibudayakan, dan senario ini telah berlanjutan sejak lebih 20 tahun.

Tiada ulasan: