Khamis, 28 April 2011

Video seks: Polis soal siasat Anwar kali ke-2

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam kenyataan berhubung laporan polisnya berkaitan video seks yang ditayangkan di Hotel Carcosa Seri Negara, bulan lalu.

Beliau yang berbaju kameja biru berkot kelabu cair dilihat tiba di sini kira-kira jam 2.50 petang.

Turut menemani beliau hari ini adalah isteri dan anaknya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah serta peguamnya, R.Sivarasa Rasiah.

Ini adalah kali kedua Anwar akan memberi kenyataan berhubung perkara tersebut selepas kali pertama 22 Mac lalu apabila beliau membuat laporan polis selepas video yang memaparkan aksi seks seorang lelaki, ditayangkan di hotel mewah itu pada 21 Mac lalu.

Anwar telah pun menafikan lelaki itu dalam video tersebut adalah beliau.

Beliau berkata, penayangan video berkenaan merupakan konspirasi yang pasti melibatkan golongan atasan.

Beliau juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetahui mengenai video lucah itu.

Selain peguam, turut mengiringi beliau adalah Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sementara itu lebih 30 petugas media menunggu di sini sejak jam 2.00 petang tadi.

Difahamkan satu sidang media akan diadakan sejurus selepas soal siasat selesai.

Tiada ulasan: