Sabtu, 9 April 2011

Lagi aktivis dihalang masuk Sarawak

MerdekaReview

Aktivis BERSIH, Wong Chin Huat dihalang untuk memasuki Sarawak, menyusul langkah aktivis sosial, Steven Ng, yang dihalang di lapangan kapal terbang pada 3 April 2011. Wong Chin Huat menjadi warga Malaysia kedua yang dihalang untuk masuk ke bumi kenyalang sejak terbubarnya DUN Sarawak.

Wong Chin Huat (gambar kanan) yang mengajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta bertolak menaiki kapal terbang pada jam 6.40 petang bersama dua orang penuntutnya. Tanpa diduga, beliau dimaklumkan bahawa dirinya dihalang untuk masuk ke Sarawak setelah mendarat di Lapangan Terbang Kuching pada jam 8.30 malam.

Wong Chin Huat membalas panggilan MerdekaReview pada jam 9.06 malam, memberitahu bahawa dirinya diminta untuk menyerah kad pengenalannya. Wong menolak untuk berbuat demikian, malah cuba membela keputusan dirinya dengan Perlembagaan Persekutuan. Beliau sedang menghubungi peguamnya untuk berunding dengan pegawai imigresen.

Bagaimanapun, Wong Chin Huat diarahkan untuk kembali ke Semenanjung kemudiannya. Beliau akan menaiki kapal terbang Air Asia pada jam 10.10 pm. Wong dihalang mengikut Akta Imigresen Seksyen 65(1)(a), akta yang sama digunakan untuk menghalang kemasukan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah sebelum ini.

Selain itu, dua orang pelajar, Lu Wei Hoong dan Low Wei Yan yang kebetulan menaiki kapal terbang yang sama, juga disiasat pegawai kastam. Menurut Lu Wei Hoong, pegawai kastam memeriksa buku nota, fail, dan buku yang dibawanya, MARCH 8 The Day Malaysia Woke Up, suntingan Kee Thuan Chye.

Mereka diberitahu oleh seorang pegawai kastam bahawa mereka disiasat atas arahan Jabatan Kastam dari Kuala Lumpur. Bagaimanapun, mereka dibenarkan masuk ke Sarawak selepas itu.

Wong Chin Huat adalah warga Malaysia kedua yang dihalang untuk masuk ke Sarawak sejak terbubarnya DUN Sarawak. Pada 3 April, aktivis yang giat dalam gerakan sosial di Sarawak, Steven Ng (gambar kanan) dilarang untuk memasuki negeri Sarawak, tanpa diberi alasan.

Wong Chin Huat adalah kolumnis MerdekaReview, sebelum ini menulis sebuah artikel berjudul Mungkinkah CHRISTRAF mencetus ribut di Sarawak?

Baca: Aktivis dilarang masuk Sarawak: Jangan jual undi anda, pesannya

Tiada ulasan: