Khamis, 28 April 2011

Email 1Malaysia: Rocky sambut saranan Mahathir

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Penasihat editorial The Malay Mail, Datuk Akhirudin Atan atau Rocky Bru (gambar) menjadi pemimpin media yang pertama menyahut nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad agar media utama bercakap benar.

Dalam tulisan terbaru dalam blognya, Rocky mengkritik pedas langkah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib memberikan projek email 1Malaysia kepada Tricubes Berhad, syarikat yang sedang hadapi masalah kewangan.

Media melaporkan, Dr Mahathir meminta media Malaysia berkata benar kepada kerajaan walaupun terpaksa mengkritiknya.

Sebelum ini media juga melaporkan, Tricubes adalah syarikat yang sedang menghadapi masalah kewangan yang teruk dan telah diberikan amaran akan dikeluarkan dari penyenaraian Bursa Malaysia jika tidak menyelesaikan masalahnya.

Syarikat milik penuh kerajaan, Mavcap telah melabur sebanyak RM5.3 juta untuk projek email 1Malaysia ini.

Tricubes adalah anak syarikat kumpulan CIMB Berhad pimpinan Datuk Seri Nazir Razak.

"Keputusan yang baik untuk Tricubes, tetapi pil yang pahit untuk 15,000 pekerja Pos Malaysia," tulis Rocky dalam blognya.

Langkah Mavcap disifatkan Rocky sebagai tindakan penyelamatan yang menggunakan sepenuhnya wang pembayar cukai negara ini.

Sebelum ini, Najib secara peribadi memberi jaminan kepada rakyat Malaysia tidak ada wang awam digunakan untuk projek ini.

Jaminan ini diberikan Najib dalam satu kenyataan melalui Twitter beliau (gambar kanan) ketika pelbagai pihak bimbang wang awam digunakan untuk projek ini bagi menyelamatkan syarikat yang ada kaitan dengan keluarga beliau itu.

Ekoran itu Najib didakwa telah menipu rakyat Malaysia.

Rocky, penyokong tegar Tun Dr Mahathir, dalam postingnya kali mempertikaikan kenapa projek tidak dibuka kepada umum untuk dibida.

"'Kerajaan sepatutnya membuat perkara yang betul. Kerajaan sepatutnya meminta Pos Malaysia, Myeg dan lain-lain syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk membuat proposal baru bagi projek email 1Malaysia ini," tulis Rocky.

"Ingatlah, 15,000 pekerja Pos Malaysia boleh mengubah keputusan pilihan raya di luar bandar," tambah Rocky dalam tulisannya.

Menjelang pilihan raya umum 2008, sumbangan Tun Dr Mahathir dianggap antara sumbangan bermakna dalam memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat.

Mahathir telah menjadikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi sebagai 'beg tinju' apabila beliau mengkritik setiap tindakan Abdullah terutama segala aktiviti menantunya, Khairy Jamaludin.

Kini, para pengikut beliau mula melaksanakan 'nasihat' beliau agar mengkrtiik kerajaan jika membuat salah.

Tiada ulasan: