KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggantung tugas seorang kakitangannya yang membiarkan pegawai Kastam berada seorang diri sebelum dia ditemui mati pagi semalam.
Kedua-dua mereka ditahan kerja untuk tujuan siasatan kerana dikatakan melanggar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM di mana pegawai-pegawai tersebut dikatakan gagal berada bersama saksi atau pelanggan sepanjang masa mereka berada dalam premis agensi antirasuah itu.
The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua mereka ditahan kerja berkuat kuasa hari ini.
“Proses tahan kerja ini adalah bagi membantu melicinkan penyiasatan dalaman berhubung perkara ini dan tindakan tahan kerja ini juga adalah sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan.
“Tindakan tahan kerja tersebut dibuat di bawah Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 iaitu penahanan kerja bagi maksud penyiasatan,” kata SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.Kenyataan itu menambah, hasil siasatan dalaman iitu setelah selesai kelak akan dibentangkan di Jawatankuasa Aduan SPRM.
Pagi semalam, Ahmad Sarbani Mohamed, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Jalan Cochrane.
Jawatankuasa Aduan yang dianggotai oleh Datuk Mohd Nor Abdullah, Datuk Muhammad Mohd Noor, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Chooi Mun Sau dan Ravindran Muthu akan memantau pengendalian oleh suruhanajaya akan aduan mengenai salah laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai suruhanjaya dan mengenal pasti apa-apa kelemahan dalam tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan dan jika difikirkannya sesuai untuk membuat apa-apa syor tentang tatacara kerja suruhanjaya sebagaimana yang difikirkannya patut.
Pagi tadi di Sarawak, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Ahmad Sarbani.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaska, pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.
Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.
Menurut SPRM, Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan pagi semalam tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan.
Bagaimanapun rakan-rakannya dan Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung sangsi Ahmad Sarbani pergi ke pejabat SPRM tanpa dipanggil.
Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion.
Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan