PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewajibkan majikan supaya membayar gaji pembantu rumah mereka melalui akaun bank dan bukan lagi secara tunai, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.
Katanya langkah baru itu akan diperkenalkan mulai Jun ini bagi menjamin dan melindungi kepentingan majikan dan pembantu rumah.
"Dengan ini kita harap dapat mencari penyelesaian bagi kes pembantu rumah yang melarikan diri daripada majikan dan juga kes majikan yang tidak membayar gaji yang ditetapkan atau tidak membayar gaji kepada pembantu rumah," katanya kepada media di sini, Khamis.
Mengenai kenyataan bahawa Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur menerima kira-kira 1,000 kes layanan buruk majikan terhadap pekerja Indonesia setiap tahun (60 peratus membabitkan pembantu rumah), Dr Subramaniam berkata hanya 60 kes seumpama itu yang dilaporkan di balai polis setahun.
"Mungkin mereka (pekerja Indonesia) melaporkan di kedutaan itu. Tetapi laporan polis menunjukkan hanya 60 kes.
"Saya perlu jelaskan bahawa 99 peratus majikan begitu bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pembantu rumah. Hanya 0.5 peratus sahaja yang dikategorikan sebagai tidak bertanggungjawab," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan