Isnin, 11 April 2011

CIJ : Polis Perlu Henti Ancam Wartawan Bertugas

TVS NEWS



KUALA LUMPUR : Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (CIJ) hari ini menghantar surat terbuka kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membantah tindakan polis yang mengancam wartawan ketika sedang bertugas dengan penangkapan.

CIJ menghantar surat berkenaan ekoran tindakan Polis Bantuan KL Sentral menahan tiga wartawan, Muhamad Naim Abu Bakar dari TV Selangor, A Zhafir dan Muhamad Afendy dari KeadilanDaily, sewaktu mereka bertugas.

Ketiga-tiga mereka ditangkap polis sewaktu membuat liputan sidang akhbar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di KL Sentral.

Mereka merupakan sebahagian daripada 11 orang yang ditahan polis sewaktu kempen Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat berkomuter dari KL Sentral ke Seremban.

Menurut CIJ, wartawan sepatutnya tidak diancam polis kerana mereka sebenarnya bertugas dan menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Walaupun pihak atasan di situ telah membebaskan ketiga-tiga wartawan setelah identiti mereka dikenalpasti, pada hakikatnya dalam sebuah negara demokrasi wartawan tidak sepatutnya menghadapi ancaman penangkapan oleh polis semata-mata kerana menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat jelata,” kata CIJ dalam surat mereka.

Lanjutan itu, CIJ mahu Kementerian Dalam Negeri mendidik anggota polis agar menghormati hak kewartawanan.

“Kami menggesa pihak kementerian untuk mengambil langkah memastikan semua anggota polis memahami dan menghormati hak wartawan dan tidak menghalang mereka daripada menjalankan tugas mereka, terutamanya melalui penangkapan dan penahanan,” kata CIJ dalam surat itu.

CIJ juga menyeru pihak berkuasa menghormati kebebasan ekspresi rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun polis berhak menahan peserta perhimpunan di bawah Akta Polis, undang-undang ini tidak boleh disalahgunakan untuk mengongkong kebebasan rakyat.

“Mahasiswi dan mahasiswa yang menghadiri sidang akhbar tersebut membawa pesanan secara aman dan tidak seharusnya diganggu mahupun ditangkap,” kata CIJ dalam surat mereka.

Surat yang sama turut dihantar kepada pegawai khas Polis Di Raja Malaysia, SAC Dato’ Wan Ahmad Najmuddin bin Mohammad, dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Tiada ulasan: