SHAH ALAM : Akibat gerun dengan kewibawaan kepimpinan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umno-Barisan Nasional (BN) terpaksa mengenepikan soal moral untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai kerajaan.
Namun tanpa disedari, masyarakat kini menjadi mangsa eksploitasi maklumat berhubung rakaman video seks yang didakwa melibatkan Anwar oleh trio veteran Umno bergelar Datuk T bulan lalu.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dalam kenyataan medianya hari ini menggambarkan cubaan untuk mengaitkan Anwar dengan individu dalam video seks tersebut sebaliknya mendedahkan keruntuhan moral Umno-BN.
Justeru katanya, kejadian tersebut merupakan tanda awal kejatuhan regim itu yang semakin menekan rakyat dengan propaganda politik kotor.
Menurut William, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak seakan-akan alpa dengan isu dan dasar-dasar utama yang harus didedahkan kepada rakyat demi kepentingan negara dan bukan video seks menjadi perbualan seharian.
Tambahnya lagi, undian rakyat bukan dilihat melalui persepsi individu tertentu tetapi pendekatan yang mampu dibawa oleh pemimpin untuk penstrukturan yang diperlukan negara bagi mewujudkan semula daya saing di kalangan negara serantau.
Ini menurutnya termasuk mengangkat semula sistem pendidikan untuk generasi muda sekaligus membolehkan pemikiran kritikal dibentuk dalam masyarakat.
Menurut Wiliam lagi peranan media arus perdana semakin tersasar berdasarkan laporan yang tidak bertanggungjawab justeru disifatkan sebagai propaganda hitam.
Seterusnya beliau menyarankan agar rakyat menentang politik murahan tersebut dengan dengan mengundi rejim Umno-BN keluar daripada pentadbiran negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan