Khamis, 7 April 2011

Biarkan rakyat tangkap Datuk T, seru Pemuda PAS

FREE MALAYSI TODAY

Suhaizan Kayat berkata tindakan polis menangani kes ini dipersoalkan sehingga video yang sepatutnya berada dalam siasatan polis dibocorkan dan tersebar dibeberapa laman blog.



PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak pihak polis agar trio ‘Datuk T’ yang menjadi dalang penyiaran video lucah mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap segera jika tidak mahu rakyat membuat keputusan sendiri.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kayat berkata tindakan polis menangani kes ini dipersoalkan sehingga video yang sepatutnya berada dalam siasatan polis dibocorkan dan tersebar dibeberapa laman blog termasuk YouTube oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Malah, pihaknya turut melahirkan kebimbangan kebocoran maklumat siasatan video itu akan mengundang masalah lain yang lebih besar sekiranya ketiga-tiga individu tersebut tidak ditangkap dan didakwa di mahkamah walaupun beberapa laporan polis dikemukakan terhadap ‘Datuk T’.

“Jika polis tidak bertindak segera kepada ketiga-tiga individu ini dan membiarkan beberapa laman blog menyiarkan video lucah ini maka mungkin rakyat akan membuat tangkapan awam dan menyerahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Suhaizan berkata, situasi ini tidak mustahil memandangkan perkara yang hampir sama pernah terjadi apabila tangkapan awam dilakukan terhadap penyogok calon PAS DUN Pasir Raja di Johor semasa pilihan raya umum tahun 2004.

“Tangkapan itu telah berjaya membawa kes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada waktu itu,” katanya.

‘Datuk T’ yang terdiri daripada Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik , ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendaharin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Shuib Lazim mengaku menayangkan video lucah kepada media di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Anwar menafikan beliau dalam video tersebut dan telah membuat laporan polis. Walaupun kes ini masih dalam siasatan polis serta barang bukti termasuk video seks dan seutas jam Omega dikatakan milik Anwar diserahkan Shazryl Eskay menjadi bahan bukti, namun sedutan rakaman video seks itu mula tersiar menerusi laman video YouTube petang Isnin lalu.

Klip video selama 1 minit 47 saat itu yang diberi tajuk “VTS 01 1″, dimuat naik oleh pengguna Youtube dengan nama “thepowercam” itu kemudiannya dijadikan pautan dalam beberapa laman blog serta dijadikan sebagai tajuk utama muka hadapan beberapa akhbar arus perdana keesokan harinya.

Namun polis menafikan bertanggungjawab terhadap kebocoran bahan bukti serta penyebaran klip video itu.

Tiada ulasan: