Sabtu, 11 Disember 2010

Sambutan tahun baru, papar kejayaan Kerajaan Negeri

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu mengumumkan sambutan tahun baru Kerajaan Negeri yang bakal dirayakan secara gilang-gemilang sempena tahun baru 2011 nanti.

Sambutan itu bertempat di I-City Shah Alam dari 29 sehingga awal pagi 1 Januari depan.

Menurut Ronnie, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terlibat secara aktif dalam sambutan kali ini yang dijangka bakal memaparkan pencapaian mereka sepanjang dua tahun di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

“Kali ini bukan saja ada persembahan tapi Kerajaan Tempatan mempamerkan pencapaian kerajaan sejak 2008 dan pada masa yang sama tetamu khas kita Tan Sri Khalid sendiri akan guna kesempatan untuk beritahu rakyat Selangor pencapaian-pencapaian kita,” jelasnya.

Ronnie juga memberitahu bahawa pelbagai program dirancangkan oleh I-City dan Majlis Bandaraya Shah Alam bersama kerajaan Negeri.

Malah dengan yakin Ronnie menjangkakan 50 ribu rakyat Selangor akan memeriahkan majlis tersebut.

Antara programnya ialah seminar, pameran dari PBT, dialog bersama pelabur, gerai jualan yang telah bermula sejak awal Disember lalu serta tidak ketinggalan tarikan terbaru I-City iaitu Snowland.

Ronnie juga mengumumkan seminar dan kursus khas melatih 288 pegawai khas yang dilantik bagi membantu Ahli Majlis seluruh Selangor bagi melicinkan lagi perkhidmatan kepada rakyat.

“288 pembantu khas PBT kerana kita rasa masa sudah sampai untuk mantapkan kredibiti dan keupayaan ahli majlis. Kita juga akan adakan dialog antara kerajaan negeri dan pelabur-pelabur asing dan tempatan,” katanya semasa sidang akhbar bagi memaklumkan sambutan tahun baru peringkat negeri Selangor di sini hari ini.

Tiada ulasan: