KUALA LUMPUR: Bagi penganut agama Kristian, 25 Disember sangat bermakna kerana mereka mempercayai bahawa pada tarikh itulah Nabi Isa dilahirkan.
Namun bagi 23 pasangan suami isteri, tarikh 25 Disember itu sangat bermakna dalam perkongsian hidup mereka kerana pada tarikh itulah mereka menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga.
Pegawai Perubatan Hospital Bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Amrul Hazli Jibrail berkata seramai 21 bayi dilahirkan di hospital itu selepas detik 12 malam tadi.
Beliau berkata tujuh bayi lelaki dan 14 bayi perempuan dilahirkan di mana bayi pertama adalah pada pukul 12.06 malam tadi.
Katanya sungguhpun kadar kelahiran agak ramai sepanjang malam tadi, namun pihak hospital tidak menghadapi masalah kerana mempunyai kakitangan yang mencukupi dan persiapan yang rapi.
Difahamkan juga dua bayi, seorang lelaki dan seorang perempuan dilahirkan di Hospital Pantai pada malam Krismas.
Bagi Roskasmini Abdullah, 29, yang melahirkan seorang anak perempuan pada pukul 4.49 pagi tadi berasa gembira dengan kelahiran anggota baru dalam keluarganya dan tidak menjangka akan melahirkannya pada hari Krismas.
Katanya, doktor menjangkakan beliau akan melahirkan bayi itu pada 19 Dis lepas bagaimanapun tidak menjangka anak keduanya tersebut hanya dilahirkan seminggu kemudian.
"Saya pun tidak sangka lahirkan anak pada hari Krismas sebab doktor jangka 19 haribulan yang lepas tapi bayi tidak mahu keluar lagi, mungkin dia tunggu hari Krismas," katanya yang bertugas sebagai jururawat paediatrik di hospital yang sama.
Kegembiraan menyambut kelahiran anak pada hari Krismas turut dirasai oleh Norsuhaila Mohd Sujak, 29, yang melahirkan anak keduanya itu pada pukul 5.49 pagi tadi.
Beliau bersyukur dan gembira dengan kelahiran anak perempuannya itu tanpa sebarang masalah memandangkan doktor menjangkakan anaknya akan dilahirkan pada 4 Jan depan.
"Kelahiran anak saya hari ini sangat istimewa kerana pada hari Krismas dan ini akan memudahkan saya untuk mengingat tarikh kelahirannya," kata beliau.Bagi Jeyapriya a/p Chander, 19, pula, beliau lega dan gembira kerana bukan hanya mendapat cahaya mata pertama malah dilahirkan pada hari Krismas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan