Sabtu, 11 Disember 2010

MEB,NKRA tidak berjaya jika kerajaan tidak amanah

SELANGOR KINI

SHAH ALAM- Kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) yang memegang tampuk pemerintahan negera digesa supaya menjalankan tanggungjawab yang diberikan rakyat dengan lebih efisyen dan amanah.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, perancangan hebat kerajaan seperti Model Ekonomi Baru (MEB) yang dikaitkan dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan dikawal dengan Indeks Prestasi Utama (KPI), tidak akan menunjukkan kesan efektif sekiranya pelaksana plan itu tidak mengamalkan sikap amanah.

Hanya dengan langkah itu sahaja segala perancangan besar yang diuar-uarkan oleh kerajaan sebelum ini, boleh menampakkan hasil dan dipercayai oleh rakyat.

“Soal perancangan yang tepat, yang baik, yang ikut wawasan, ekonomi yang baik, semua itu penting.

“Tetapi kalau ada perancangan yang baik sekalipun namun pelaksananya tidak amanah, tidak bermaknalah. Akan hancurlah. Buat atas kertas sahaja, nampak cantik tetapi hanya sekadar untuk mendapatkan sokongan dan undi rakyat, tetapi dari segi pelaksaan, apa yang dikata dengan yang dibuat, tidak sama,” tegas Khalid.

Malah ujarnya, rakyat yang semakin bijak juga pastinya akan mulai jelak dengan hanya mendengar plan besar Umno-BN yang bertujuan memenuhkan kantung mereka sahaja.

“Apa yang kita perlukan ialah pimpinan yang mampu membuat perancangan yang baik dan tepat, dan pada masa yang sama, lebih kepada pemimpin yang amanah, yang mementingkan rakyat lebih dari diri mereka sendiri dan sebagainya,” tambah Khalid.

Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan satu lagi kebobrokan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang mementingkan syarikat kroni mereka melalui projek berjumlah RM2 bilion ringgit di bawah Kementerian Pertahanan.

Projek tersebut dikatakan telah diberikan kepada syarikat yang dimiliki oleh Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sejak tahun 2008 tanpa diadakan tender terbuka.

Melihat kepada senario ini, menurut Khalid, sebenarnya corak pentadbiran Umno-Barisan Nasional yang membuatkan rakyat semakin berang dengan mereka.

Maka tidak mustahil katanya, tindakan seperti itu jugalah yang mendorong rakyat menolak mereka dan memilih untuk bersama Pakatan Rakyat.

“Walaupun mungkin perancangan tidak seberapa baik, mungkin sepatutnya boleh dapat RM 4 bilion tetapi akhirnya hanya dapat RM 3 bilion, tetapi kalau ada perancangan yang baik, hebat sekalipun tetapi tidak amanah, yang dapat RM 4 bilion itu akhirnya masuk dalam poket,” jelas Khalid lagi, tentang sikap Umno yang lebih mementingkan poket sendiri.

Malah katanya lagi, pimpinan tertinggi Umno-Barisan Nasional ini juga merupakan pengkhianat kepada pegawai-pegawai bawahan mereka yang bertungkus-lumus mengenalpasti pendekatan dan kaedah-kaedah baru untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Menurut beliau, segala perancangan seperti MEB misalnya diakui ada relevannya di atas kertas dan boleh digunapakai untuk membangunkan negara, namun malangnya, ia tidak dikendalikan oleh individu yang tepat.

“Tetapi malangnya pelaksana dari pentadbir yang utama iaitu pemerintah dan sebagainya, mereka hanya gunakan itu sebagai propaganda untuk mendapatkan sokongan tetapi tidak komited untuk melaksakan perancangan yang baik yang telah disediakan oleh pakar-pakar ekonomi dalam jabatan kerajaan,” ujar Khalid lagi.

Tiada ulasan: