Jimadie Shah Othman
Cadangan penarikan novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok sebagai buku teks bagi komponen sastera (Komsas) di sekolah menengah ditentang keras oleh kumpulan sasterawan dan penulis. Setiausaha agung Persatuan Penulis Nasional (PENA) Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, gesaan yang melambangkan "kejahilan" itu timbul akibat tidak memahami konteks cerita itu ditulis.
"Mereka ini (penentang) mungkin tidak membaca, tidak memahami dan memilih secara berat sebelah. Dan mungkin membantahnya demi kepentingan politik masing-masing," katanya yang lebih dikenali dengan nama pena SM Zakir.
Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam (kiri) mahukan Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu kerana didakwa mempunyai unsur kasta dalam masyarakat India yang sensitif.
Isu sekitar novel itu bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, setelah diputuskan dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Interlok akan ditarik balik Bagaimanapun, sehari selepas itu,Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi pula berkata, keputusan itu akan dikaji semula dengan mengenalpasti tuduhan yang dilemparkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Terbaru, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia mengugut mengadakan demonstrasi besar sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan buku itu sebagai bacaan wajib sebelum 30 Januari - tarikh berlangsungnya pilihan raya Tenang. Kita pun boleh demo Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, SM Zakir menjelaskan, gambaran mengenai sistem kasta dalam masyarakat India yang dalam novel itu hanyalah dibuat sebagai latar belakang watak dan sebagai fakta semata-mata.
Malah, menurut cerpenis itu, Interlok sebenarnya bertemakan perpaduan antara masyarkat berbilang bangsa menghadapi zaman sebelum kemerdekaaan yang berdepan pelbagai rintangan, termasuk pendudukan Jepun, keganasan komunis dan darurat. Menurut Syed Mohd Zakir, novel itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.
Namun, menurutnya, selepas lahirnya generasi kedua, keadaan mula berubah ke arah yang positif. Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir.
Sementara itu, ditanya tentang demonstrasi NGO India itu, Syed Mohd Zakir berkata pihaknya tidak kisah dengan rancangan itu kerana pihaknya dan NGO Melayu lain juga mampu mengambil tindakan yang sama.
"Kami menentang sekeras-kerasnya penarikan novel tersebut (sebagai teks wajib). Kalau mereka hendak protes, kita pun boleh protes juga.
"Jangan emosi sangat. Kalau dilihat daripada kaca mata perkauman, memanglah (nampak) perkauman. Mereka yang sebenarnya rasis. Kalau mereka hendak demo, kita pun boleh demo," katanya tegas.
Respons berterusan Beliau juga menjelaskan, sebagai respons berterusan terhadap desakan demi desakan terhadap Interlok, PENA akan menganjurkan beberapa program membincangkan kandungan adikarya Abdullah itu.
Katanya, bermula 8 Januari, PENA akan menganjurkan "Dialog Novel Interlok" di pejabatnya di ibu negara yang melibatkan novelis terkenal Fatimah Busu dan angkatan sasterawan sezaman dengan Abdullah, Elias Zaidi.
"Mereka boleh menceritakan konteks sebenar novel itu," tambah Syed Mohd Zakir yang juga pemenang pelbagai anugerah sastera.
Interlok dimasukkan sebagai teks Komsas untuk pembelajaran bahasa Melayu bermula tahun ini. Malah, dilaporkan novel itu pernah digunakan sebagai teks kajian sastera di universiti sekitar tahun 90-an. Abdullah merupakan sasterawan negara kesembilan, sekaligus yang terakhir (setakat ini) menerima anugerah paling tinggi dalam dunia sastera tanahair.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan